By: Jazuli Bello Ladan & Nasmatu Aliyu Media freedom refers to the ability of journalists…

Salahuddin Al Ayyubi – Inspirasi Membebaskan Palestin
Oleh: Siti Zuliana Md Zuki
Siapakah Salahuddin Al Ayyubi?
Dalam liputan sejarah, nama Salahuddin Al-Ayubi tidak perlu diperkenalkan lagi. Salahuddin, nama yang mengilhami ketakutan dan penghormatan di mata tentera-tentera ketika zamannya. Beliau seorang yang diraikan oleh dunia Islam dan juga dunia barat sebagai pemimpin heroik yang menyatukan pimpinan Islam dan mengembalikan Tanah Suci Baitulmaqdis kepada keadaan asal. Yusuf ibn Ayyub atau lebih dikenali sebagai Salahuddin Ayyubi dilahirkan pada tahun 532H / 1137M di Tekrit di Tebing Barat Tigris antara Mosul dan Baghdad. Keluarganya berlatar belakang dan keturunan Kurdish. Selepas kelahirannya, keluarganya berpindah ke Mosul, tetapi akhirnya, keluarganya membawanya ke Baalbek di Lubnan untuk mengelakkan beliau terjejas daripada pertelingkahan keluarga. Langkah ini tepat pada masanya dan membentuk kehidupan Salahuddin.
Pada usia 31 tahun, beliau telah dilantik menjadi komander tentera Syria di Mesir dan menjadi wazir khalifah di sana. Kenaikan kuasanya yang agak cepat bukan sahaja dikaitkan dengan nepotisme puak keluarga Kurdish tetapi juga bakat dan kebolehannya. Salahuddin merupakan seorang taat dalam beragama. Beliau sentiasa menunaikan solat fardhu lima waktu lengkap dengan solat sunat dan tidak pernah solat melainkan secara berjemaah. Beliau membelanjakan sebahagian besar hartanya untuk sedekah dan beliau tidak pernah memiliki harta yang cukup sehingga beliau sendiri memerlukan zakat.
Kepimpinan Salahuddin dalam Memenangi Perang Salib dan Palestin
Salahuddin adalah contoh pemimpin yang bertolak ansur, progresif, dan inklusif yang sangat dicintai rakyatnya. Salahuddin menjunjung prinsip-prinsip utama Islam seperti kebebasan beragama dan melindungi orang bukan Islam. Taktik pertempuran, kegagahannya yang tidak dapat ditandingi sebagai seorang askar, ketatanegaraan yang kuat dan perwatakannya yang elok menyebabkan beliau dihormati walaupun oleh musuh. Salahuddin terkenal hingga ke hari ini kerana membebaskan kota suci Baitulmaqdis daripada tentera Salib. Perang Salib merupakan perang paling dahsyat dan paling lama dalam sejarah umat manusia iaitu sekitar dua abad lamanya (1096- 1291M).
Kejayaan Salahuddin adalah ketika Perang Salib Kedua. Kemunculan Perang Salib Kedua (1145-1149M) adalah merupakan rentetan daripada Perang Salib Pertama (1095-1099M). Ketika Perang Hittin, ketokohan Salahuddin al-Ayubi begitu terserlah. Beliau bukan hanya berkelebihan dari segi fizikal, tetapi juga dari segi taktikal peperangan. Dalam peperangan menentang tentera Salib Kristian, beliau mencapai kejayaan besar dengan penawanan semula Baitulmaqdis (12 Oktober 1187M), menamatkan hampir sembilan dekad pendudukan oleh orang Frank. Pada puncak kekuasaannya, beliau memerintah Mesir, Syria, Mesopotamia, Hijaz, dan Yaman.
Ciri-ciri Kepimpinan Tauladan Salahuddin
Setiap tindakan Salahuddin diilhamkan oleh pengabdian yang kuat dan tidak berbelah bahagi kepada idea jihad. Ia merupakan faktor penting dalam dasar beliau untuk menggalakkan pertumbuhan dan penyebaran agama Islam. Beliau menyantuni ulama dan pendakwah, mengasaskan maktab dan masjid untuk kegunaan mereka, dan memberi tugasan kepada mereka untuk menulis karya-karya yang membina, terutamanya tentang jihad. Sebagai seorang pemimpin, beliau seorang yang berani dan tegas namun bertanggungjawab, adil, dan baik hati. Kepentingan watak dan keperibadian seorang pemimpin Islam yang ideal boleh menjadi contoh teladan bagi mana-mana individu, masyarakat dan negara. Pemimpin mempunyai kuasa terhadap sesama manusia dan umpama jantung kepada masyarakat. Terdapat tujuh kualiti yang perlu ada pada pemimpin Islam iaitu taqwa, tolak-ansur dan sabar, tawakal, berilmu dan bijaksana, semangat pengorbanan, menghormati ikrar yang dilafazkan serta ihsan. Ketujuh-tujuh elemen ini dapat dilihat dalam diri Salahuddin.
Layanan Salahuddin terhadap Golongan Kristian Palestin
Ketika tentera Salib menakluki Baitulmaqdis pada 1099, mereka menyembelih seluruh penduduk kota itu (kira-kira 70,000) dan mencipta pertumpahan darah yang besar. Oleh itu, ketika tentera Salahuddin hendak masuk ke Baitulmaqdis, penduduk Kristian di kota itu ketakutan kemungkinan tindakan yang sama dari pihak Islam dilakukan kepada mereka. Ibu-ibu memotong rambut gadis muda dengan harapan dapat menyelamatkan mereka daripada dirogol. Para agamawan Kristian sibuk menyembunyikan khazanah dan kesusasteraan gereja untuk mengelakkannya daripada dimusnahkan. Tetapi apabila Salahuddin memasuki Baitulmaqdis, beliau memerintahkan untuk membersihkan kota itu dengan air mawar dan beliau sendiri mula membasuh lantai Masjid al-Aqsa.
Perlakuan Salahuddin terhadap musuh-musuhnya boleh dianggap sebagai contoh sempurna ajaran Islam terhadap orang bukan Islam. Apabila tenteranya membebaskan Baitulmuqadis daripada tentera Salib pada tahun 1187, beliau memerintahkan untuk tidak menyentuh walaupun seorang pun. Mereka dilayan dengan penuh hormat dan bermaruah. Mereka yang ingin pergi boleh meninggalkan kota itu dengan aman dan bagi mereka yang ingin tinggal di Baitulmuqaddis, boleh juga berbuat demikian secara harmoni. Salahuddin seorang yang mudah berkompromi dan bertolak-ansur. Ketika kalah kepada tentera Islam, pemimpin Salib meminta jaminan keamanan dari pihak Islam. Justeru, Salahuddin telah menetapkan syarat di mana mereka dikehendaki membayar wang tebusan mengikut jantina dan umur mereka. Namun, beliau memberikan wang kepada orang tua yang akan pergi dan menawarkan haiwan untuk mereka tunggangi dan membawa barang-barang mereka. Beliau membenarkan banduan untuk bersatu semula dengan keluarga mereka. Orang tua, orang kurang upaya, orang miskin, dan ulama dibenarkan pergi dengan aman tanpa membayar tebusan.
Keperibadian Unggul Salahuddin
Generasi Salahuddin bukan sahaja menawan semula Baitulmaqdis, tetapi juga meletakkan asas Empayar Islam di India dan secara ringkas membendung kemaraan tentera Salib di Sepanyol dan Afrika Utara. Pembentukan jati diri seorang pemimpin harus bermula dari awal iaitu seawal usia kanak-kanak. Salahuddin ketika di Baalbeck, beliau mempelajari ilmu Islam dan seni peperangan.
Keperibadian beliau yang hebat, keberanian, dan keazaman adalah hasil daripada didikan dan contoh mentor yang bijak sepanjang beliau membesar. Inilah yang menjadikannya pemerintah yang ideal. Bapanya, bapa saudaranya, dan Nurruddin adalah mereka yang bertanggungjawab dalam pembentukan sikap dan personaliti Salehuddin. Mempunyai pergaulan yang baik dan mentor yang berkebolehan adalah ciri pahlawan besar Islam.
Kesimpulan
Untuk menjadi pemimpin yang baik, tidak hanya memerlukan kekuatan fizikal, tetapi juga minda yang cerdas. Kekuatan fizikal tanpa strategi yang berkesan tidak akan mendatangkan kejayaan. Antara elemen lain dalam pemerintahan Salahuddin ialah kesediaannya untuk berkongsi kesusahan. Beliau tidak hanya mengharapkan orang bawahan tetapi turun sendiri bersama-sama merasai kepayahan terutama ketika perang yang hebat. Sifat kepimpinan ini wajar dijadikan contoh dan amat diperlukan dalam kalangan pemimpin dunia revolusi seperti sekarang. Sehubungan dengan itu, MyREF dan Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) melalui inisiatif, Justice for Palestine Action Front (JPAF) ingin menyeru pemimpin mahupun bakal pemimpin untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar dalam melahirkan pemimpin seperti Salahuddin.
Salahuddin meninggal dunia pada usia 57 tahun iaitu pada tahun 1193M dan dikebumikan di Masjid Umayyad di Damascus. Harta pusakanya hanya 47 dirham dan satu dinar. Beliau tidak meninggalkan harta tanah atau apa-apa warisan lain. Keluarga Salahuddin terus memerintah Mesir dan negeri jiran sebagai dinasti Ayubiyyah. Namun, pada 1250M, mereka tunduk kepada Dinasti Mamluk. Al-Fatihah untuk pahlawan Islam yang banyak berjasa kepada agama, Salahuddin Al-Ayubi.