skip to Main Content

Intifada Al-Aqsa: Kebangkitan Rakyat Palestin

Oleh: Norhafizah Ghazali & Siti Zuliana Md Zuki

Intifada berasal daripada istilah Arab yang membawa erti penentangan atau pemberontakan yang bertujuan menamatkan pendudukan Israel di wilayah tersebut dan mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka. Intifada Palestin Pertama meletus di Gaza pada Disember 1987, Intifada pertama ialah siri demonstrasi Palestin yang sebahagian besarnya berlaku secara spontan, tindakan tanpa kekerasan seperti boikot besar-besaran, keengganan penduduk Palestin bekerja di Israel, dan serangan menggunakan batu, koktel Molotov, dan kadang-kadang senjata api ke atas Israel. Kesannya, tentera Israel bertindak balas terhadap protes dan serangan rakyat Palestin dengan kekerasan yang dahsyat dan menyebabkan jumlah kematian rakyat Palestin secara mendadak dan mengatasi rakyat Israel.

Intifada Kedua, atau “Al-Aqsa”, bermula pada 28 September 2000, apabila ketua pembangkang Parti Likud, Ariel Sharon membuat lawatan provokatif ke Masjid Al-Aqsa dengan beribu-ribu pasukan keselamatan dikerahkan di dalam dan sekitar Kota Lama Baitulmaqdis. Pertempuran antara penunjuk perasaan Palestin dan tentera Israel menyebabkan lima rakyat Palestin terbunuh dan 200 lagi cedera dalam dua hari pertama. Insiden itu mencetuskan pemberontakan bersenjata yang meluas di Wilayah Pendudukan Palestin.

Kesan Intifada Al-Aqsa

Semasa Intifada Kedua, Israel telah menyebabkan kerosakan terhadap ekonomi dan infrastruktur Palestin selain menduduki semula kawasan yang ditadbir oleh Pihak Berkuasa Palestin. Israel juga memulakan pembinaan Tembok Pemisah di Tebing Barat, yang telah diputuskan tidak sah oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Menjelang akhir tahun 2008, jumlah kematian rakyat Palestin telah mencecah hampir 5,000, orang dengan lebih 50,000 orang yang tercedera. Dua pemimpin Hamas turut terbunuh dalam serangan udara Israel dalam tempoh ini. Selepas kematian Yasser Arafat, pada November 2004, Mahmoud Abbas telah dilantik menjadi ketua PLO (Palestine Liberation Organization). Intifada Kedua memuncak dengan perjanjian gencatan senjata antara Abbas dan Sharon, Perdana Menteri Israel ketika itu, yang ditandatangani di Sharm al-Shaikh, Mesir. Kedua-dua pihak bersetuju bahawa puak Palestin akan menghentikan semua tindakan keganasan mereka terhadap Israel dan Israel pula akan menghentikan semua aktiviti ketenteraan mereka terhadap rakyat Palestin. Mereka juga menegaskan komitmen masing-masing kepada Pelan Hala Tuju untuk proses perdamaian. Selain itu, Israel juga bersetuju untuk membebaskan sebilangan tahanan Palestin dan berundur dari Tebing Barat yang telah diduduki semula semasa intifada.

Sejak kematian mengejut Arafat, keadaan menjadi semakin tidak menentu. Namun, gerakan Islam Hamas dan Jihad Islam, bersama-sama dengan sosialis Popular Front for The Liberation of Palestine (P.F.L.P) telah berkompromi untuk mendamaikan perbezaan mereka dengan gerakan Fatah yang mendominasi pihak berkuasa Palestin serta kancah politik Palestin. Paling ketara adalah kebangkitan Hamas selepas intifada kedua yang menyebabkan mereka memenangi pilihan raya perundangan Palestin pada tahun 2006 dan mengambil alih kawalan pentadbiran Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Pada 2007, Hamas mengetuai kemenangan tentera ke atas Fatah.

Langkah Perjuangan Bersenjata

Keganasan Israel menunjukkan bahawa mereka tidak berminat untuk menamatkan konflik dengan cepat. Secara hakikatnya, Israel melepaskan berjuta peluru dan menceroboh ke tempat suci Islam dan menyebabkan kerugian besar kepada kehidupan rakyat Palestin. Serangan kekerasan yang berlebihan oleh Israel adalah bertujuan untuk mengheret rakyat Palestin ke dalam konfrontasi ketenteraan dan ianya juga adalah penyebab mengapa fasa penentangan rakyat Palestin dalam Intifada Kedua berakhir dengan cepat dan digantikan dengan pemberontakan bersenjata.

Serangan menggunakan senjata telah menerbitkan ketakutan yang disebabkan oleh sentimen keganasan. Pihak dari Palestin haruslah bertahan dan melakukan serangan dengan cara yang serupa dengan tentera Israel. Hal ini bagi menunjukkan sikap tegas Palestin dalam memperjuangkan hak-hak rakyatnya dan sekali gus mencetuskan rasa gerun dalam kalangan tentera Israel. Matlamat perjuangan bersenjata adalah untuk menunjukkan kepada rakyat tentang jalan perjuangan menuju kebebasan dan menyedarkan mereka akan kuasa mereka sendiri. Dari sudut politik, ianya dianggap satu bentuk revolusi dan akan membuahkan hasil yang luar biasa. Hal ini telah terbukti apabila beberapa negara yang menggunakan penentangan bersenjata telah berjaya untuk mencapai kebebasan daripada musuh.

Penggunaan senjata dalam perjuangan akan membuatkan pihak musuh gentar dan memberi harapan baru kepada mereka semua yang berjuang dan secara beransur-ansur menanam sifat patriotik dalam diri dan akan menjadi bersedia untuk memainkan peranan ketenteraan dalam gerakan revolusi menuju kebebasan. Maka, segala usaha perlulah dilakukan dalam mempertahan tanah air mereka, tidak kira dengan cara apa pun. Banyak gerakan revolusi yang berjaya telah meletakkan penanda aras bahawa perjuangan bersenjata adalah satu-satunya jalan menuju kebebasan.

Kemunculan Intifada Ketiga?

Ada yang berpendapat bahawa Intifada Ketiga sedang dijalankan. Adakah ini bermakna kita sekali lagi berada dalam ambang intifada seperti yang diharapkan dan ditakuti oleh sesetengan pihak?

Secara ironinya, udara Palestin telah pun dipenuhi dengan kemarahan. Rakyat telah muak dan mereka menyuarakan kekecewaan mereka, pertama terhadap kerajaan mereka sendiri, tetapi kemarahan sebenar mereka adalah kepada Israel dan masyarakat antarabangsa yang terus memberikan Israel sewenang-wenangnya restu atas semua tindakannya terhadap rakyat Palestin. Bagi kepimpinan Palestin pula, mereka mahu menamatkan monopoli Amerika ke atas konflik dengan Israel, kerana Amerika Syarikat, pada pandangan kepimpinan, akan sentiasa berat sebelah dengan memihak kepada Israel. Matlamat utama adalah untuk mengantarabangsakan konflik dengan mendapatkan pihak lain terlibat secara lebih aktif dalam apa yang berlaku antara Israel dan Palestin. Kini, mereka berharap intifada semasa akan memaksa Israel untuk membuat lebih banyak perjanjian.

Dari sudut geografi, kepimpinan Palestin dilihat adalah berpecah-belah dan tidak demokratik dalam mengekalkan kuasa dan hak prerogatif mereka sendiri. Rakyat Palestin tidak berada dalam kedudukan yang strategik untuk melancarkan Intifada Ketiga terhadap Israel. Namun demikian, sebarang insiden boleh mencetuskan kebangkitan ketiga dalam masa terdekat sekiranya hak-hak mereka terus dilanggar.

Kesimpulan

Intifada Kedua dengan jelas menunjukkan kegagalan rundingan selama bertahun-tahun dan menunjukkan pergolakan politik dalaman Israel dan Palestin. Intifada telah menjadi tragedi yang paling berdarah dalam rekod di Israel, Tebing Barat dan Baitulmaqdis. Intifada Ketiga perlu dielakkan kemunculannya bagi menghalang lebih banyak nyawa terkorban. Tetapi jika suara rakyat tidak didengari dan penindasan tetap berlalu, mungkin bibit-bibit Intifada Ketiga perlu muncul kerana ini adalah satu-satunya bahasa yang difahami oleh Israel.

Back To Top