By: Jazuli Bello Ladan & Nasmatu Aliyu Media freedom refers to the ability of journalists…

Hamas: Pejuang Kemerdekaan Bukan Pengganas
Oleh: Dr Syaidatana Siti Aishah Ab Aziz & Dr Mohd Rizal Abu Bakar
Hamas merupakan akronim untuk Harakat al-Muqawama al-Islamiya yang bermaksud “Gerakan Pertahanan Islam”. Hamas sebenarnya sudah lama wujud sebelum berlakunya konflik antara Israel dengan Palestin lagi. Hamas sebelumnya merupakan sebahagian daripada Ikhwanul Muslimin yang bertapak di Mesir. Secara rasmi Hamas mula melancarkan perjuangannya menentang zionis Israel pada Intifada Pertama pada tahun 1987 selepas ditubuhkan pada 14 Disember pada tahun tersebut. Gerakan Hamas ini diasaskan oleh Sheikh Ahmed Yassin iaitu seorang ulamak Palestin yang menjadi aktivis bagi gerakan Ikhwanul Muslimin. Pertubuhan Hamas membawa fikrah Ikhwanul Muslimin dan menyeru rakyat Palestin berjuang atas dasar Islam dan menentang penjajahan Zionis di Palestin.
Kemenangan dalam pilihan raya 2006 dianggap titik perubahan dalam sejarah Hamas setelah menyertai politik pada Disember 2004. Kini, Hamas dianggap sebagai gerakan penting dalam seluruh politik Palestin serta dalam agenda pembebasan daripada Israel. Hamas pada masa ini telah menubuhkan sayap ketenteraan di bawah Sheikh Solah Shahadah, dengan gelaran Briged al-Qassam. Menurut Hani Awad (2022), Hamas mempunyai tiga pendekatan utama iaitu pertama sebagai gerakan Islam, kedua sebagai gerakan sosial dan ketiga sebagai pewaris kepada pergerakan kebangsaan Palestin.
Walau bagaimapun, Hamas sentiasa dikategorikan sebagai sebuah kelompok teroris oleh negara Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Kesatuan Eropah (EU). Negara seperti United Kingdom (UK), Australia dan New Zealand pula hanya menyenaraikan sayap ketenteraan Hamas, Briged Al-Qassam sebagai organisasi pengganas, tidak keseluruhannya. Istilah ‘terorisme’ disinonimkan dengan penggunaan kekerasan dalam memastikan setiap matlamat yang dikehendaki tercapai. Hal ini termasuklah penglibatan dalam aktiviti penculikan, rampasan dan pembunuhan. Tuduhan yang digelar oleh negara Eropah ini hakikatnya bercanggah dengan ideologi perjuangan Hamas yang dinyatakan di dalam perlembagaannya pada 18 Ogos 1988.
Kandungan perlembangan tersebut menjelaskan Hamas merupakan gerakan kemanusiaan yang mengambil kira toleransi Islam dan membenarkan penganut-penganut agama lain tinggal bersama masyarakat Islam. Oleh sebab itu, Hamas berjuang berhabis-habisan bagi mempertahankan bumi Palestin yang dianggap mereka tanah Islam sejak turun-temurun. Bagi rakyat Palestin, tanah mereka tidak boleh dibahagi atau diserahkan kepada pihak lain dan merupakan milik Islam. Pernyataan ini disokong oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan apabila Haaretz News pada 25 Oktober 2023, melaporkan Presiden Turki menegaskan pejuang Hamas bukan organisasi pengganas, sebaliknya kumpulan pembebasan yang melancarkan pertempuran untuk melindungi tanah mereka.
Sejak sekian lama Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah mensasarkan serangan yang tidak wajar tanpa menghiraukan keperluan dan perlindungan orang awam Palestin. Tanah-tanah rakyat Palestin dirampas untuk pembinaan penempatan baru bagi pendatang Zionis. Kebun-kebun zaitun dan padang ragut ternakan sengaja dijadikan zon ketenteraan, sekaligus memutuskan sumber pendapatan rakyat Palestin. Rumah-rumah dirobohkan atas alasan pembinaan dilakukan tanpa permit. Hanya 2% daripada semua tanah yang dirampas di Tebing Barat itu digunakan untuk manfaat penduduk Palestin. Hal ini menunjukkan terdapat ketidakadilan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Israel merampas tanah-tanah tersebut demi keperluan awam. Menurut Khalid Jimat (2023) yang merupakan Ketua Pegawai Penyelidik, Palestine Centre of Excellence (PACE), sejak tahun 2022 sahaja, sebanyak 313 perintah telah dikeluarkan untuk merampas tanah bagi kononnya tujuan awam. Rejim Zionis telah merampas hampir 300 ekar tanah milik Palestin di Tebing Barat dalam usaha untuk memperluas penempatan haramnya di wilayah diduduki.
Hak rakyat Palestin telah rakus di ambil tanpa kebenaran dan menyebabkan timbul ketidakpuasan hati mereka ke atas Zionis Israel seterusnya serangan pada 7 Oktober telah dilancarkan ke atas Israel. Hamas telah berjaya menembusi tembok-tembok kolonial Israel dan melakukan operasi ketenteraan yang dipanggil “Taufan Al-Aqsa”. Pasukan penjajah zionis Israel pula memanggil operasi mereka sebagai “Operasi Pedang Besi”. Perkara ini dapat dibuktikan dengan peperangan yang berlarutan sehingga kini ke atas penduduk Gaza. Laporan yang disediakan oleh Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) pada 3 Januari 2024 melaporkan jumlah kematian rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober ialah sekurang-kurangnya 22,185 orang rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza.
Menurut Kementerian Kesihatan di Gaza, kira-kira seorang dalam tujuh daripada mereka yang terbunuh dikatakan wanita dan kanak-kanak. Dalam tempoh yang sama, (OCHA) mencatatkan 57,035 rakyat Palestin dilaporkan cedera dan sehingga 7,000 orang dianggarkan hilang. Sejak 6 Disember 2023, jumlah kematian di Gaza melibatkan 8,697 orang kanak-kanak dan 4,410 orang wanita serta mereka yang hilang dan terperangkap di bawah runtuhan. Sebaliknya, angka kematian akibat serangan Hamas ke atas Israel pula berjumlah 1,139 orang. Hal ini menunjukkan jurang kematian yang besar antara rakyat Gaza dan Israel. Hal ini menunjukkan bahawa, Hamas hanya menyerang dalam kalangan tentera Israel yang mengancam mereka berbeza dengan tentera Israel yang menyasarkan serangan ke atas orang awam.
Serangan Hamas dilakukan secara mengejut, kekuatan yang dimiliki oleh Hamas tidak dapat menandingi keupayaan ketenteraan Israel yang mempunyai aset yang maju, sofistikated dan dibantu oleh sekutu rapat mereka, iaitu Amerika Syarikat. Hamas merupakan pejuang yang berada dalam Gaza dan bukan sebahagian daripada kerajaan Palestin hari ini. Namun, gerakan Hamas mempunyai satu keupayaan yang luar biasa dalam kapasiti yang amat terhad. Serangan pembebasan ini telah menunjukkan kepada dunia bahawa Israel bukanlah kuasa yang hebat seperti yang disangka. Israel telah mendapat malu yang besar daripada serangan ini kerana ramai anggota tenteranya terbunuh. Lebih mengecewakan, ramai yang berjaya ditangkap dan menjadi tawanan perang oleh Hamas.
Keperibadian tentera Hamas dipuji oleh tahanan apabila penghargaan diberikan kepada pejuang-pejuang Hamas terhadap sifat kemanusiaan yang ditonjolkan terhadap golongan kanak-kanak dan wanita. Hamas menganggap tahanan mereka seperti rakan mereka. Sifat terpuji tentera Hamas yang utama ialah mempunyai keimanan cukup tinggi sehingga menyatakan bahawa mereka tidak memerlukan apa-apa bantuan dan sanggup syahid dalam peperangan. Sifat inilah kunci kekuatan dan rahsia sebenar kehebatan Hamas yang digeruni oleh tentera Israel. Lebih mengagumkan sebahagian besar kematian tentera Israel adalah disebabkan oleh serangan darat Briged Al-Qassam. Strategi yang digunakan mereka dalam peperangan amat sistematik dengan adanya terowong rahsia bawah tanah yang berteknologi tinggi untuk melaksanakan serangan hendap terhadap tentera Israel. Tentera Briged Al-Qassam turut mempunyai ilmu yang tinggi dalam pertempuran dan sentiasa bersedia dalam menghadapi serangan daripada tentera Israel.
Selepas hampir 100 hari berperang, ternyata tentera penjajah Israel tidak berjaya mencapai dua objektif utamanya iaitu menghapuskan Hamas dan juga membebaskan tawanan perang mereka. Kemampuan Israel hanya setakat membunuh orang awam melalui pengeboman udara. Bantuan daripada tentera Hezbollah dan Houtis menambah tekanan buat Israel. Peperangan yang berlaku antara Palestin dengan Israel pada masa ini lebih kurang sama seperti peristiwa hari Nakba pada tahun 1948. Pada tahun tersebut, lebih 100 penduduk Palestin terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak terbunuh di Deir Yassin, pinggir Baitulmuqaddis. Insiden tersebut menyaksikan Israel berani menyerang rakyat Palestin dan lebih 500 perkampungan dan kawasan bandar Palestin dimusnahkan. Situasi Nakba menjelaskan perlakuan genocide iaitu peghapusan kaum, sama yang berlaku ke atas serangan Palestin pada masa ini. Rentetan kedua-dua peristiwa ini, Palestin sememangnya memerlukan Hamas dalam mempertahankan identiti rakyat Palestin daripada semakin hilang.
Sebagai kesimpulannya Hamas dianggap sebagai perjuang kemerdekaan yang mempertahankan hak dan martabat rakyat Palestin dalam menghadapi pendudukan Israel. Harapan rakyat Palestin melibatkan aspirasi untuk mencapai kemerdekaan, kedaulatan dan keadilan. Aspirasi ini melibatkan penarikan pendudukan haram Israel dan penubuhan negara Palestin yang diiktiraf oleh antarabangsa. Akhirnya, penghormatan terhadap semua pihak ke atas rakyat Palestin amat diperlukan agar rakyat Palestin dapat menjalani kehidupan dalam persekitaran yang aman dan tenteram, di mana konflik dapat diselesaikan melalui dialog dan rundingan tanpa melibatkan keganasan. Harapan ini mencerminkan tekad rakyat Palestin untuk mencapai kemerdekaan dan keadilan dalam konteks sejarah dan realiti kehidupan harian mereka yang penuh cabaran.