skip to Main Content

Pengurusan Konflik dalam Kesatuan: Rasulullah SAW Sebagai Ikon Kepimpinan

Oleh: Zaid Husaini bin Kamis

Konflik dan kesatuan merupakan satu isu utama kepada kepimpinan sebuah negara yang mempunyai rakyat dan masyarakat rencam dari sudut pemikiran, akhlak dan tatabudaya. Keperluan kepada satu model yang terbaik untuk mewujudkan kesatuan dan pengurusan konflik adalah sangat penting. Justeru, model terbaik yang boleh diambil adalah datangnya daripada Rasulullah SAW yang telah berjaya menggagaskan negara Madinah yang unggul terdiri dari masyarakat bersatu padu dibawah kepimpinan Baginda SAW. Hakikatnya, berlaku konflik semasa pemerintahan Baginda SAW, namun tindakan bijaksana dari Rasulullah SAW berjaya mengatasi perkara tersebut. 

 

Konflik Kesatuan Semasa Pemerintahan Baginda di Madinah

Kesatuan umat Islam di Madinah semasa kepimpinan Rasulullah SAW adalah sangat kukuh. Namun, terdapat beberapa keadaan kesatuan tersebut mengalami ujian dan cabaran. Terdapat dua keadaan yang menggoncangkan kesatuan umat Islam pada waktu itu. Situasi pertama adalah konflik dalam kalangan golongan Ansar yang terdiri daripada Aus dan Khazraj. Konflik ini berlaku ketika mereka berkumpul di dalam satu majlis dan seorang pemuda dari kaum Aus membacakan syair yang mencela kaum Khazraj dan dibalas oleh pemuda Khazraj. Keadaan ini menyebabkan berlaku pergaduhan yang membawa kepada tercetus bibit peperangan diantara keduanya. Perkara ini sampai kepada pengetahuan Rasulullah SAW dan Baginda SAW bergegas untuk meleraikan pergaduhan tersebut. Turun wahyu dari ayat 102 dan 103 surah Ali-Imran untuk menegur kaum Ansar dan mereka berbaik-baik semula selepas teguran itu.

Konflik kedua yang berlaku adalah berkenaan dengan pembahagian harta yang dibuat oleh Rasulullah SAW dimana Baginda melebihkan pembahagian harta kepada golongan Muhajirin berbanding dengan golongan Ansar. Golongan Ansar menyatakan protes melalui sahabat Rasulullah SAW yang rapat iaitu Saad bin Abi Waqas. Perkara tersebut diatasi oleh Rasulullah SAW dengan pantas dan mengadakan dialog untuk memberi penerangan yang jelas berkenaan isu tersebut. Golongan Ansar kemudian sangat berpuas hati dengan penerangan Rasulullah SAW dan konflik tersebut reda.

 

Kaedah Rasulullah Menghadapi Konflik dalam Kesatuan

Terdapat beberapa kaedah yang digunakan oleh Rasulullah SAW dalam menghadapi konflik kesatuan semasa pemerintahan di Madinah. Kaedah yang digunakan oleh baginda adalah:

  1. Rasulullah memangkas akar yang menjadi punca wujudnya konflik iaitu dengan mengusir penduduk Yahudi yang menjadi batu api meniup api pergaduhan dalam kalangan Ansar yang terdiri dari Aus dan Khazraj. Kota Madinah setelah berlaku hijrah terdiri daripada Muhajirin dan Ansar manakala Yahudi terdapat tiga kelompok iaitu Qainuqa, Quraizah dan Nadhir. Pada awalnya, kesemua masyarakat tinggal dalam keadaan aman dibawah piagam Madinah yang telah dipersetujui. Namun, setelah Yahudi melihat kekuatan umat Islam semakin kukuh dengan bertambahnya penganut Islam, maka mereka berusaha merosakkan kesatuan umat Islam dengan meniupkan api permusuhan lama Aus dan Khazraj dan hampir berjaya mencetuskan peperangan diantara keduanya. Justeru, apabila berlaku pelanggaran piagam, maka Rasulullah SAW menghalau kaum Yahudi yang melanggar perjanjian tersebut dan akhirnya, keseluruhan Yahudi diusir dari Madinah yang menjadi punca kepada ketidakstabilan dalam negara.
  2. Rasulullah SAW menggunakan pendekatan rundingan iaitu menerangkan tindakan yang baginda lakukan kepada rakyatnya. Sebagai contoh, Rasulullah SAW menerangkan kepada kaum Ansar berkenaan isu pembahagian harta perang yang dilebihkan kepada Muhajirin. Pembahagian yang dilihat tidak adil oleh Ansar menyebabkan berlaku ketidaksenangan sebahagian dari Ansar kerana mereka turut terlibat dalam peperangan yang berlaku. Rasulullah SAW berjaya meredakan ketegangan itu dengan memberikan justifikasi bahawa wajar Muhajirin dilebihkan kerana mereka kaum Muhajirinmeninggalkan harta, keluarga, ternakan, rumah dan segala kemewahan dunia untuk hijrah menegakkan kalimat Allah sedangkan golongan Ansar mempunyai harta dan tinggal bersama keluarga di Madinah. Penerangan baginda menyebabkan golongan Ansar menerima dengan hati terbuka dan mengatakan ‘kami mendengar dan kami patuh’.

 

Faktor Kepatuhan Sahabat Terhadap Kepimpinan Rasulullah SAW

Kepatuhan para sahabat kepada Rasulullah SAW bukan sahaja disebabkan oleh arahan dari Allah, namun ia juga disebabkan oleh kualiti kepimpinan Rasulullah SAW yang hebat dan hubungan Rasulullah SAW yang sangat baik dengan para sahabat sehinggakan sahabat mencintai baginda SAW melebihi segala-galanya. Sifat baginda SAW yang lemah lembut terhadap para sahabat dan menyantuni mereka dengan penuh keadilan menyebabkan mereka tidak merasa tercicir dari perhatian Rasulullah SAW. Keberadaan Rasulullah yang tidak seperti para pembesar kaum yang mempunyai status elit menyebabkan baginda senang untuk didekati masyarakat yang berada di bawah kepimpinan baginda.  Rasulullah SAW sentiasa bergotong-royong dengan sahabat dalam melaksanakan sesuatu kerja contohnya, pembinaan parit dalam perang khandak yang memperlihatkan Rasulullah SAW mengikat perut baginda sebanyak tiga batu kerana kelaparan berbanding sahabat yang mengikat perut dengan satu batu. Peristiwa ini menunjukkan Rasulullah SAW bekerja dengan sangat keras melebihi sahabat sedangkan baginda merupakan pemimpin Madinah. Justeru, kualiti kepimpinan dan qudwah yang ditunjukkan Rasulullah SAW sebagai pemimpin wajar diikuti oleh setiap pemimpin.

Secara keseluruhannya, jika diteliti kepimpinan Rasulullah SAW dan para sahabat malangnya sudah lama luntur dalam pemerintahan di negara Islam khususnya. Umat Islam memerlukan pemimpin yang adil, saksama, prihatin serta mengikut acuan al-Quran dan Hadis. Dalam konteks pemerintahan di negara Palestin, kita dapat melihat bahawa perpecahan dan masalah kesatuan dalam kalangan rakyat dan juga pemimpin menjadi antara masalah utama dalam pergolakan negara tersebut. Oleh itu, MyREF dan Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) melalui inisiatif, Justice for Palestine Action Front (JPAF) ingin memperkenalkan satu platform di peringkat antarabangsa iaitu International Consultative Council of Palestine (ICCP) yang melaksanakan rangka kerja strategik yang memupuk pemimpin masa depan yang dikurniakan nilai-nilai teladan, kualiti dan kecekapan mengikut model kepimpinan Rasulullah dan para sahabat. Platform ini bukan sahaja akan menerajui visi untuk membebaskan Palestin tetapi juga memupuk perpaduan dalam kalangan Ummah.

Back To Top