By: Jazuli Bello Ladan & Nasmatu Aliyu Media freedom refers to the ability of journalists…

Palestin: Negara untuk Semua
Oleh: Nur Aina binti Makhtarudin
Memetik daripada tulisan Adnan Khan dalam bukunya 100 Years of the Middle East: The Struggle for the Post Sykes-Picot Middle East yang bermaksud ‘Untuk memahami masa kini, masa lampau perlu dikaji’ bertepatan dalam menjawab isu penjajahan Palestin yang berlaku lebih 100 tahun lamanya. Selepas kejatuhan empayar Turki-Uthmaniyah ketika Perang Dunia Pertama (WWI), Palestin dijajah oleh British selama 30 tahun (1917-1947) dan seterusnya oleh Israel bermula 1948 hingga sekarang (75 tahun). Jika ditelusuri, kejatuhan empayar Turki-Uthmaniyah bukanlah disebabkan oleh kelemahan ketenteraan tetapi perebutan kuasa dan perpecahan dalam kalangan pemerintah itu sendiri. Perkara ini ditambah lagi dengan strategi British yang membuat perjanjian dengan sesiapa sahaja seperti dengan pihak Zionis, Perancis, Sharif Hussain dan Muhammad Ibn Saud demi mencapai objektif dalam meluaskan kuasa barat dan akhirnya membawa kepada penubuhan beberapa buah negara di Timur Tengah sekaligus menimbulkan perpecahan dalam kalangan bangsa Arab.
Cubaan memerdekakan Palestin telah diadakan beberapa kali melalui Perjanjian Damai Oslo Accord pada tahun 1993 antara Pertubuhan Pembebasan Palestin atau Palestine Liberation Organization (PLO) dengan Israel namun tidak membuahkan hasil malah rakyat Palestin semakin berhadapan dengan pelbagai bentuk penindasan, ketidakadilan, kehilangan hak asasi dan juga dasar Aparteid Israel. Negara serantau Palestin seperti Jordan, Mesir dan Arab Saudi juga cuba untuk membebaskan Palestin, antaranya dalam Perang Enam Hari (Six-Day War 1967) dan Perang Yom Kippur namun menemui jalan buntu malah sebaliknya semakin menormalisasikan hubungan dengan Israel seakan membenarkan penjajahan Israel terhadap Palestin. Di peringkat antarabangsa, resolusi demi resolusi telah dibuat, malahan pelanggaran dan kekejaman Israel turut didokumentasikan oleh banyak organisasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa, termasuk Amnesty International dan Human Rights Watch, namun perkara ini tidak diendahkan oleh kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan menyebabkan penjajahan Israel tetap berleluasa.
Berdasarkan penelitian, usaha memerdekakan Palestin yang sedia ada dilakukan atas dunia yang berpaksikan kepada ideologi barat yang mengangkat kepada pemisahan antara agama daripada semua hal dunia. Hal ini terbukti apabila lahirnya Zaman Pencerahan di Eropah pada abad ke-18 yang menolak kepada ajaran agama dengan membakar gereja-gereja dan kitab-kitab agama serta meletakkan kemodenan dan kemajuan masyarakat yang bergantung kepada kebolehan manusia semata-mata iaitu melalui penciptaan teknologi dan sebagainya sebagai tunggak kejayaan dalam perluasan kuasa. Ideologi ini menolak agama sebagai jalan kehidupan dan seterusnya meletakkannya sebagai perhiasan mahupun alat dalam meraih kebendaan. Dalam konteks isu Palestin-Israel, negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam ataupun Organization of the Islamic Cooperation (OIC) seolah-olah buta dan bisu dalam menghadapi kekejaman dan kebiadaban Israel terhadap rakyat Palestin demi menjaga kepentingan kuasa dan negara sendiri malah Palestin dilihat tidak memberi apa-apa kepentingan dunia kepada mereka.
Dalam menjawab kepada permasalahan ini, Profesor Ismail Raji al-Faruqi dalam karyanya, Islam and the Problem of Israel mengatakan bahawa kebejatan sistem yang berpandukan kepada pandangan sekular dan dasar imperialisme yang diguna pakai hari ini bukanlah jawapan kepada permasalah dunia dan juga konflik Palestin-Israel. Sebaliknya ia terletak kepada orde ataupun peraturan Islam yang mampu memulihkan dan mengatur hubungan sejagat dengan prinsip tauhid, yang berunsurkan keyakinan agama dan moral. Beliau juga menggariskan kaedah-kaedah penyelesaian dalam permasalahan ini dengan memfokuskan kepada peranan negara-negara Arab dan umat Islam dalam mewujudkan pemerintahan berpaksikan Islam yang sebenar dengan keperluan untuk menegakkan undang-undang shariah secara menyeluruh. Melalui Islam, pertembungan dan konfrontasi antara negara, etnik mahupun kaum tidak akan wujud malah dapat melemahkan musuh. Dengan itu, umat Islam dapat menundukkan Israel dan menjadikan Palestin sebagai Negara untuk Semua. Hal ini bertepatan dengan Justice for Palestine Action Front (JPAF) yang menjunjung gagasan bahawa umat Islam, Kristian dan Yahudi boleh hidup bahagia dengan kebebasan, keadilan dan keamanan di bawah pemerintahan Islam. Negara untuk Semua bukanlah fantasi politik, tetapi realiti sejarah sejak lama sebelum Mandat British dan penjajahan Israel.
Mengembalikan ajaran Islam yang kian pudar seharusnya menjadi misi utama dalam usaha membebaskan Palestin di mana tempat terletaknya Baitulmaqdis yang merupakan kiblat pertama umat Islam. Hal ini kerana, dengan lahirkan syiar Islam maka lahirlah kepimpinan dunia Islam dan seterusnya pembebasan Palestin daripada cengkaman dan kezaliman Israel dan dunia barat dapat direalisasikan. Inspirasi ini berdasarkan hadis Riwayat Muslim, berkata Rasulullah SAW kepada sahabat dan umatnya,
“Akan sentiasa ada golongan daripada umatku, yang senantiasa menegakkan kebenaran, musuh-musuh mereka tidak mampu membahayakan mereka, sehingga Allah SWT menentukan urusannya, dan mereka tetap istiqamah dalam perjuangan terhadap kebenaran.”
Yakinlah dengan janji Allah SWT bahawa kemenangan umat Islam dan rakyat Palestin pasti akan berlaku!