skip to Main Content

Perjuangan Tidak Bernoktah, Sokongan Tidak Bermusim Untuk Palestin

Oleh: Dr Syaidatana Siti Aishah Ab Aziz & Dr Mohd Rizal Abu Bakar

Konflik antara Palestin dengan Israel sehingga kini masih berterusan dan angka kematian akibat keganasan Israel semakin meningkat. Lebih menyedihkan, tahun 2022 merupakan tahun berdarah bagi rakyat Palestin apabila Arab News melaporkan pada 1 Januari 2023, mangsa terkorban melibatkan 225 orang di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Menurut jurucakap kerajaan Palestin Ibrahim Melhem, tahun lalu merupakan tahun paling dahsyat penduduk Palestin dibunuh oleh rejim Israel. Mangsa yang maut melibatkan kanak-kanak, remaja, rakyat biasa, aktivis, peserta protes dan pejuang Hamas. Dunia menyaksikan betapa rakus penjajahan pihak rejim ke atas bumi Palestin dengan menempatkan Israel di Palestin melalui Deklarasi Balfour sejak tahun 1917. Seterusnya membolehkan Israel menjajah Palestin secara haram dengan menafikan hak rakyat Palestin. Sejarah membuktikan pada 14 Mei 1948, pengisytiharan negara baharu Israel diumumkan oleh Perdana Menteri Pertama Israel iaitu David Ben Gurior di Tel Aviv. Kemudian pada 15 Mei tahun yang sama, kerajaan Israel berjaya membangunkan negara Yahudi di Palestin hasil pertolongan besar British dan Amerika Syarikat. Peristiwa ini mencetuskan konflik antara Palestin dengan Israel sehingga kini masih belum menemui jalan damai. Pelbagai faktor dapat dikaitkan dengan konflik ini yang melibatkan faktor dalaman Palestin dan luaran selain faktor politik pihak rejim Israel.

Faktor yang tidak dapat dielakkan bagi semua konflik ini berpunca daripada kerakusan pihak Israel itu sendiri. Perkara ini disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa penjajahan Israel terhadap tanah dan diskriminasi rakyat Palestin merupakan punca utama siri keganasan berterusan di Palestin. Hasil laporan PBB daripada pasukan penyiasat yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia pertubuhan global menjelaskan bahawa Israel sememangnya langsung tidak berniat menamatkan penjajahan di tanah Palestin. Pemerintahan Israel yang dikuasai oleh pemimpin ultra-nasionalis mengeruhkan keadaan serta membolehkan keganasan kembali memuncak. Proses damai kedua-dua negara dilihat gagal apabila tampuk pemerintahan yang diketuai oleh Perdana Menteri Israel iaitu Benjamin Netanyahu selama tiga penggal sejak 1996 dilihat tidak berminat untuk berunding dalam mencari jalan penyelesaian. Rakyat Israel juga seolah-olah tidak berminat untuk berdamai kerana terus membenarkan kerajaan ultra-nasionalis berkuasa. Sehubungan itu, Israel sebenarnya memerlukan pemimpin politik yang komited kepada proses damai untuk jangka masa panjang. Tindakan tegas perlu diambil dengan menolak pemimpin ultra-nasionalis bagi memperoleh proses damai yang lebih mampan.

Selain itu, faktor dalaman politik Palestin turut menjadi punca konflik Palestin dan Israel semakin berpanjangan. Situasi ini dapat diperhatikan dalam tampuk pemerintahan di Palestin yang telah terbahagi kepada dua kelompok utama iaitu Al-Fatah organisasi secular-leftist yang dipimpin oleh Mahmoud Abbas atau Abu Mazen dan satu kelompok lagi iaitu Hamas yang beraliran Islam. Pertelingkahan antara dua parti terbesar dalam Palestine Legislative Council membolehkan seluruh rakyat Palestin terheret dalam perebutan kuasa. Sehingga kini tiada perdamaian politik antara mereka. Kumpulan Fatah terus mendapat sokongan kuasa Barat, manakala Hamas disokong Iran daripada segi politik dan kewangan. Ketiadaan persefahaman menyebabkan kedua-duanya gagal membentuk kerajaan perpaduan bagi memastikan strategi politik Palestin dapat diperkuatkan. Israel dan kuasa besar serantau lain juga mengeruhkan lagi hubungan politik antara dua kumpulan berpengaruh ini. Oleh yang demikian, perdamaian dan kata sepakat kedua-dua parti politik perlu diusahakan bagi membolehkan negara Palestin bebas daripada penjajahan dan penaklukan kuasa rejim Israel.

Kemelut antara Palestin dengan Israel juga tidak dapat lari daripada faktor kepentingan politik antara kedua-dua negara. Perbezaan ideologi merupakan satu bentuk perbalahan yang dominan apabila masing-masing Palestin dan Israel ingin menuntut hak atas dasar agama mereka. Segelintir penganalisis konflik antara Palestin dengan Israel menyatakan bahawa faktor agama bukan punca konflik kedua-dua negara terjadi, tetapi disebabkan oleh faktor kepentingan politik dan juga ekonomi. Situasi ini dapat dilihat apabila terdapat beberapa bentuk diplomasi cuba dilaksanakan oleh kedua-dua negara namun rundingan tidak mencapai kata putus. Lebih membimbangkan apabila persefahaman melalui kuasa Arab tidak dapat membantu dalam proses damai Palestin dan Israel. Meskipun negara-negara Islam mempunyai pertubuhannya sendiri seperti Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan Liga Arab, namun mereka masih lagi berada di bawah pengaruh Amerika Syarikat serta tidak mempunyai semangat kerjasama yang kukuh antara negara Islam. Meskipun wujud gabungan ketenteraan negara-negara Arab yang menyerang pendudukan Israel pada tahun 1948 namun kepentingan politik tertentu mengatasi matlamat awal untuk menyerang Israel. Hakikatnya dunia Islam menghadapi perpecahan disebabkan faktor dalaman serta campur tangan luar demi kepentingan politik di negara berkenaan. Keadaan ini secara jelas menunjukkan bahawa OIC masih belum sepakat dalam menangani isu Palestin.

Meskipun rakyat Palestin dibelenggu dengan kuasa politik yang kuat daripada kedua-dua pihak, namun perjuangan mereka masih tetap utuh. Pelbagai sokongan daripada negara lain mampu meringankan penderitaan yang ditanggung. Bantuan kemanusiaan amat penting daripada segi kapasiti pembangunan, kewangan, peralatan dan perubatan. Walau bagaimanapun, bantuan kemanusiaan sahaja masih tidak mencukupi bagi membebaskan negara Palestin. Masyarakat Islam khususnya perlu bekerjasama antara satu sama lain dalam menangani isu Palestin. Antara usaha yang dilakukan negara Islam misalnya Iran membekalkan senjata kepada pejuang Palestin secara sulit, Syria memutuskan rundingan dengan Israel, UAE mengumpul dana bagi memulihkan semula kerosakan di Gaza dan seumpamanya. Keadaan ini jelas menunjukkan mereka begitu memahami penderitaan dan kesengsaraan yang dialami rakyat Palestin. Selain itu, advokasi dalam sokongan politik turut membantu membebaskan Palestin daripada rejim Israel.  Dunia Islam termasuk Malaysia perlu mengambil inisiatif yang proaktif dengan memperkuatkan sokongan diplomasi dunia Islam. Walaupun semakin banyak negara Islam mula menjalinkan diplomasi dengan Israel namun Malaysia perlu berpegang teguh sebagai negara Islam yang mendokong penuh perjuangan membebaskan Palestin. Inisiatif kerajaan Malaysia harus dipuji dengan berusaha keras untuk mendapatkan sokongan masyarakat antarabangsa agar Israel dapat dihadapkan ke muka pengadilan antarabangsa di Geneva kerana telah melakukan kekejaman melampau dan pembersihan etnik ke atas rakyat Palestin. Malaysia sebagai negara Islam boleh memacu kepada perjuangan Palestin supaya kekal relevan diperingkat nasional, serantau dan antarabangsa.

Berikutan itu, “Perjuangan Tidak Bernoknah, Sokongan Tidak Bermusim” memberi makna bahawa sokongan kepada rakyat Palestin tidak akan pernah berhenti sehingga Palestin menjadi negara berdaulat. Meskipun kesungguhan pihak antarabangsa bagi menamatkan konflik Palestin sentiasa dihalang oleh kuasa besar selaku anggota tetap dalam PBB yang menggunakan kuasa vetonya melindungi pihak Israel, namun jalan ke arah keamanan mesti disokong oleh masyarakat Islam. Perjuangan membebaskan Palestin menjadi peranan utama masyarakat Islam dengan menterjemahkan perjuangan tersebut dalam bentuk sumbangan dan bantuan kemanusiaan tanda sokongan sejagat. Dengan kudrat sebagai rakyat biasa sememangnya tidak mampu membebaskan Palestin daripada penjajahan dan penaklukan Israel. Namun, setidaknya umat Islam mampu bersatu hati membantu rakan seagama dalam segala bentuk penderitaan dan kesengsaraan. Hal ini seiring dengan kebangkitan rakyat Palestin yang masih kebal dan utuh meskipun tanah air mereka dijajah secara zalim oleh pihak Zionis. Matlamat untuk mendapatkan kedaulatan negara disemai kuat dalam diri masing-masing walau nyawa harus dikorbankan.

Menerusi artikel ini, MyREF dan Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) melalui inisiatif, Justice for Palestine Action Front (JPAF) ingin menekankan bahawa perjuangan dan sokongan terhadap rakyat Palestin bukanlah perjuangan bermusim atau sekadar suam-suam kuku, perjuangan ini haruslah berterusan sehingga Palestin mencapai negara berdaulat sekali gus menjadikan negara Islam sebagai pemegang tampuk kekuasaan dunia. Oleh itu, dalam merealisasikan perkara ini, JPAF ingin mengajak semua pihak berganding bahu dan menggembleng tenaga mengikut kepakaran dan kebolehan masing-masing dalam menghentikan segala bentuk halangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam mewujudkan negara Palestin yang bebas dan berdaulat seiring dengan misi JPAF, iaitu Palestine State for ALL.

Back To Top