skip to Main Content
Normalisasi Israel: Demi Palestin Atau Kepentingan Negara Sendiri?

Normalisasi Israel: Demi Palestin atau Kepentingan Negara Sendiri?

Oleh: Norhafizah binti Ghazali

Normalisasi merujuk kepada hubungan diplomatik dua negara melalui beberapa jenis hubungan formal yang sebelum ini tidak wujud. Antaranya melalui perjanjian perdagangan, penubuhan kedutaan di kedua-dua negara tersebut dan penerbangan terus. Normalisasi Arab-Israel pula secara spesifiknya merujuk kepada usaha damai dan perjanjian antara negara anggota Liga Arab dan Israel yang secara langsung menamatkan konflik Arab-Israel.

Selama beberapa dekad, negara-negara Arab telah menganggap Israel sebagai musuh dan komited untuk menolak semua bentuk normalisasi dengannya sehingga penyelesaian yang komprehensif dan adil kepada isu Palestin dicapai. Namun, Mesir menjadi negara pertama yang membuka pintu kepada normalisasi dengan menandatangani perjanjian damai secara unilateral dengan Israel pada tahun 1979 tanpa memerlukan penyelesaian kepada persoalan Palestin. Sebagai balasan, Mesir memperolehi semula Semenanjung Sinai yang ditawan oleh Israel dalam peperangan pada tahun 1967. Selepas Mesir, 15 tahun kemudian, Jordan pula membuka sumber baru bantuan ekonomi dan ketenteraan yang sangat diperlukan dari barat.

Pada Mac 2002, Sidang Kemuncak Arab Beirut menerima pakai Arab Peace Initiative (API) yang dikemukakan oleh Raja Saudi, Raja Abdullah bin Abdul Aziz yang mencadangkan perdamaian dengan Israel dengan syarat pengunduran sepenuhnya dari wilayah Arab yang diduduki pada Jun 1967 termasuk Bukit Golan. Ia dilihat sebagai penyelesaian yang adil kepada masalah pelarian Palestin selaras dengan Resolusi Perhimpunan Agung PBB 194 (UN General Assembly Resolution 194) dan penubuhan negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Normalisasi Israel: Demi Palestin atau Kepentingan Negara Sendiri?

Dahulunya, kebanyakan hubungan diplomatik negara-negara Arab dengan Israel bergantung kepada kemajuan dalam rundingan berkaitan isu Israel-Palestin. Namun kini, jelas bahawa normalisasi dengan Israel tidak lagi berkaitan dengan mencari penyelesaian kepada persoalan berkaitan Palestin atau mencapai keadilan di Palestin tetapi lebih kepada kepentingan negara masing-masing. Bagi Israel pula, mereka memahami normalisasi sebagai penerimaan Zionisme. Pada tahun 2020, hubungan antara negara Arab dan Israel mengalami perubahan dan menjadi semakin kuat dengan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Donald Trump sebagai pengantara.  Empat negara Arab iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan, dan Maghribi secara berturut-turut memutuskan untuk mengadakan normalisasi dengan Israel.

Putera Mahkota Abu Dhabi, Mohammad bin Zayed al Nahyan menyatakan bahawa hubungan dengan Israel adalah untuk menghentikan proses aneksasi (rampasan) Israel di Tebing Barat. Namun, ramai yang beranggapan bahawa perjanjian tersebut membelakangkan perjuangan rakyat Palestin. Putera Mohammed juga ada memberi ulasan dalam temu bual dengan Atlantik bahawa mereka melihat Israel bukan sebagai musuh, tetapi sebagai sekutu yang berpotensi.

Sementara itu, Kesatuan Ulama Islam Sedunia telah mengutuk langkah perjanjian ini dan ianya dihukum sebagai haram dan berdosa besar. Hal ini kerana bumi Palestin merupakan warisan umat Islam zaman berzaman di samping bumi para anbia. Maka, normalisasi dan perjanjian ini dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan ke atas Palestin, di mana nasib rakyatnya dijadikan taruhan dan permainan kuasa-kuasa besar dunia. Secara dasarnya, normalisasi yang dilakukan oleh negara-negara Arab ini bemaksud mereka menyerah kalah di hadapan musuh yang nyata dan paling dimurkai Allah SWT kerana memerangi Islam.  Para ulama berpendapat bahawa negara haram Israel akan tenggelam bersama-sama mereka yang mengadakan normalisasi terhadap negara itu. Hal ini adalah berdasarkan kepercayaan Islam, termasuklah kalangan Yahudi bermazhab Ortodoks Neturei Karta. Mereka yang menjelajah berkempen mengenai normalisasi juga pasti akan menemui kegagalannya.

Normalisasi ini berlaku dari segi ekonomi, komersial, keselamatan, ketenteraan, budaya dan juga sukan. Normalisasi perdagangan dan ekonomi antara Israel dan negara-negara Arab telah berkembang dengan ketara dalam beberapa tahun belakangan ini. Menurut data Biro Perangkaan Pusat Israel, eksport barangan dan perkhidmatan Israel ke pasaran MENA (Middle East and Northern Africa) dianggarkan berjumlah kira-kira tujuh bilion dolar setiap tahun, termasuk lebih daripada satu bilion dolar ke negara-negara Teluk Arab.

Normalisasi Israel: Demi Palestin atau Kepentingan Negara Sendiri?

Tuntasnya, isu Palestin tidak lagi dianggap penting oleh negara-negara Arab yang lain. Rejim-rejim ini percaya bahawa normalisasi dengan Israel membantu melindungi keselamatan mereka dan membawa mereka lebih dekat dengan Amerika Syarikat, tanpa mengira kedudukan rakyat Palestin atau rakyat mereka sendiri. Permainan politik serantau sentiasa meletakkan Palestin di pihak yang paling rugi. Palestin menyifatkan perjanjian Israel dan negara-negara Arab ini sebagai satu pengkhianatan kepada bangsa Palestin. Sementara Israel menjalinkan hubungan bebas dengan negara-negara Arab, rakyat Palestin masih lagi terkongkong di Timur Jerusalem, Tebing Barat dan ‘penjara’ terbesar dunia, Gaza.

Namun, Malaysia dan Indonesia merupakan antara dua negara yang teguh dalam membantah normalisasi Israel malah tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara. Kedua-dua negara ini menggesa masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membantu untuk menghentikan segala bentuk keganasan yang dilakukan oleh Israel demi menyelamatkan nyawa rakyat Palestin. Selain itu, bantuan turut dihulurkan kepada Palestin terutama sekali melalui badan-badan bukan kerajaan yang sentiasa berusaha dan komited membantu saudara-saudara Islam di sana.

Secara keseluruhannya, menerusi artikel ini, MyREF dan Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) melalui inisiatif Justice for Palestine Action Front (JPAF) dengan tegas menyatakan pendirian iaitu tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara dan mengutuk sekerasnya perbuatan Zionis Israel terhadap rakyat Palestin. JPAF juga berharap dan menyeru agar negara Islam terutamanya negara Liga Arab dapat mengetepikan kepentingan politik dan semangat individu masing masing dalam membebaskan Palestin dari cengkaman Isarel.

Back To Top