By: Jazuli Bello Ladan & Nasmatu Aliyu Media freedom refers to the ability of journalists…

Masalah Fahaman Zionisme Moden Punca Penjajahan di Palestin
Oleh: Zaid Husaini bin Kamis
Fahaman Zionis merupakan gerakan Yahudi yang asalnya sebuah gerakan kerohanian namun bertukar kepada gerakan politik bagi mewujudkan sebuah negara khusus golongan Yahudi. Selama ini, kaum Yahudi bertebaran di seluruh dunia dan tidak mempunyai negara khusus untuk mereka diami kerana kitab Yahudi melarang mereka untuk mendirikan sebuah negara khusus. Oleh yang demikian, Zionis merupakan sebuah gerakan yang mendorong pulangnya kaum Yahudi di seluruh dunia untuk kembali bersatu sebagai sebuah bangsa dengan Palestin sebagai negara atau wilayah bangsa Yahudi, dan Jerusalem sebagai ibu kota negara. Menurut Karen Armstrong, golongan ortodoks Yahudi mengutuk sekeras-kerasnya gerakan Zionis disebabkan prinsip Zionis yang berbeza dengan kitab Yahudi.
Secara asasnya, zionisme merupakan sebuah gerakan tersusun yang mempunyai ideologi dan fahaman agama yang menjadi landasan kepada keyakinan dan tindakan mereka. Terdapat tiga tonggak kefahaman Zionis dari sudut agama iaitu mereka mempunyai keyakinan bahawa Palestin merupakan tanah yang ditakdirkan menjadi hak milik Yahudi. Kedua, mereka berkeyakinan bahawa akan datangnya al-Masih yang akan diutuskan Tuhan di bukit Zion yang berketurunan Daud untuk menyelamatkan mereka dan akan membalas dendam terhadap semua bangsa lain di dunia. Ketiga, mereka yakin bahawa bangsa Yahudi adalah bangsa yang dipilih Tuhan berbanding bangsa-bangsa lain. Berdasarkan landasan keyakinan ini, kaum Yahudi membangunkan idea, membentuk undang-undang dan merencanakan agenda mereka untuk kembali ke bukit Zion dan mendirikan Haikal Sulaiman untuk menyelamatkan diri mereka dengan menggunakan segala helah untuk merealisasikan hasrat tersebut.
Zionisme dari sudut politik pula adalah usaha untuk menubuhkan negara Israel dan mengumpulkan kaum Yahudi sebagai sebuah negara bangsa yang bersatu di dalam satu wilayah dan kawasan. Mereka mempunyai rangkaian yang besar dan luas di Eropah dan sebahagiannya menjadi orang penting dalam politik, ekonomi dan sosial masyarakat. Antara tokoh besar Yahudi Zionis adalah Theodore Herzl, Cham Wheizman, Rothchild dan pelbagai nama besar lain yang mempunyai kuasa dan pengaruh yang besar di Eropah. Kewujudan rangkaian yang besar ini digunakan dengan sebaik mungkin oleh Yahudi Zionis dengan melobi dan mewujudkan simpati masyarakat antarabangsa terhadap kaum Yahudi yang ditindas di Eropah terutamanya Eropah Barat. Setelah tamatnya Perang Dunia, kaum Yahudi memperhebatkan usaha untuk menjadikan Palestin negara mereka dengan menggunakan alasan pembunuhan Yahudi secara besar-besaran oleh Jerman dan diwujudkan angka kematian yang lebih dari sepatutnya untuk lebih menarik simpati masyarakat dunia dalam usaha menyokong kewujudan negara Israel di Palestin. Ironinya, kaum Yahudi membunuh masyarakat yang tidak bersalah dengan menghalau penduduk Arab Palestin dari negara dan kediaman asal.
Zionisme antarabangsa wujud di New York pada 1 Mei 1776, namun tidak berlaku gerakan yang signifikan oleh kaum Yahudi dalam merealisasikan penubuhan negara Israel. Namun, fahaman Zionis ini menjadi semakin popular dalam kalangan Yahudi setelah Theodore Herzl mengetuai gerakan ini. Theodore Herzl ialah seorang tokoh jurnalis dan beliau terkenal dengan penulisan buku ‘Negara Israel’ yang diterbitkan pada tahun 1895. Kemudian, Theodore melakukan inisiatif dengan mengadakan kongres julung kalinya, mengumpulkan 300 peserta yang mewakili 50 organisasi Yahudi di seluruh dunia yang diadakan di Basel, Swiss. Resolusi kepada kongres tersebut adalah mewujudkan negara baharu bagi orang Yahudi di Palestin. Dalam kongres tersebut, diputuskan secara rasminya pergerakan mereka dinamakan sebagai Zionis. Terdapat beberapa ketetapan diputuskan oleh kongres dalam usaha merealisasikan kewujudan negara haram Israel iaitu:
- Pembentukan tenaga kerja yang berfungsi mengadakan perundingan, kesepakatan dan usaha membentuk negara Zionis di Palestin.
- Mengasaskan Bank Yahudi.
Setelah Kongres julung kali diadakan, Zionis terus memperhebatkan usaha untuk menyatukan Yahudi dan usaha mereka dengan merencanakan kongres yang berikutnya yang diadakan hampir setiap tahun untuk merealisasikan kewujudan negara Israel. Kongres seterusnya berlaku di Basel pada tahun 1899 yang menghasilkan keputusan mewujudkan bank Yahudi dengan modal 2 juta Paun Sterling. Kongres ketiga berlaku di Basel juga dan pada tahun yang sama dengan “Piagam Zionisme Antarabangsa” sebagai hasil kongres. Seterusnya, kongres terus diadakan hingga Zionis berjaya mendirikan negara haram Israel di Palestin. Terdapat catatan bahawa kongres ini berlaku sebanyak 23 kali bermula pada tahun 1897 hingga tahun 1951 yang mana kongres ini matlamat utamanya adalah untuk mempelajari taktik-taktik dan strategi kearah pembentukan kerajaan haram Israel. Setelah kematian Theodore Herzl, usaha ini diambil oleh Dr Weizmann. Keberadaan Dr Weizmann mempercepatkan lagi usaha mewujudkan negara Israel kerana Weizmann mempunyai pengaruh besar terhadap negara Britain semasa Perang Dunia.
Setelah berbagai usaha dilakukan bagi menjadikan negara Palestin sebagai tanah air, akhirnya usaha tersebut menghampiri kejayaan apabila tentera Uthmaniah kalah dalam Perang Dunia Pertama. Negara yang kalah akan dibahagikam wilayah dan kawasan kepada negara yang memenangi peperangan. Oleh demikian itu, British yang merupakan antara negara yang memenangi Perang Dunia mendapat mandat untuk mentadbir kawasan Palestin. Sebelum itu, terdapat usaha untuk menyogok Sultan Abdul Hamid untuk memberi tanah kepada Israel namun tidak berjaya kerana prinsip dan ketegasan Sultan dalam mempertahankan wilayah Palestin. Maka, kejatuhan wilayah Palestin kepada Britain menyebabkan berlakunya Perjanjian Balfour yang memberi indikasi sokongan Britain terhadap usaha penubuhan negara Israel di Palestin.
Setelah perjanjian Balfour, kaum Yahudi mula memasuki Palestin secara besar-besaran. Pada asalnya, jumlah kaum Yahudi di Palestin tidak melebihi 10 peratus, namun setelah berlaku perjanjian Balfour, jumlah penduduk Yahudi meningkat secara drastik dari tahun ke tahun. Yahudi Zionis menghalau penduduk tempatan dan terdapat banyak perkampungan Arab Palestin dimusnahkan untuk dijadikan penempatan mereka. Penduduk tempatan juga ramai dibunuh dalam usaha menakut-nakutkan bagi memudahkan proses pembinaan negara Israel. Akhirnya pada tahun 1948, Yahudi Zionis berjaya menubuhkan negara haram Israel di Palestin setelah Britain meninggalkan Palestin pasca Perang Dunia Kedua. Yahudi Zionis seterusnya meluaskan lagi kawasan penempatan setelah memenangi Perang 6 Hari pada tahun 1967. Penduduk Arab Palestin ditekan sehingga mereka hanya tinggal di kawasan Gaza dan Tebing Barat yang kurang 10 peratus dari keseluruhan wilayah Palestin.
Tuntasnya menerusi artikel ini, , MyREF dan Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) melalui inisiatif, Justice for Palestine Action Front (JPAF) ingin mengenengahkan ancaman zionisme moden yang mempengaruhi penjajahan di Palestin dengan rungkaian dari perspektif sejarah. Dalam membicarakan isu ini, JPAF bersuara tegas dalam menyatakan pendirian bagi menghentikan sebarang bentuk kekejaman dan penindasan rejim Zionis terhadap Palestin. Rakyat Palestin, seperti mana-mana manusia di dunia inginkan keamanan dan keharmonian. Mereka berhak untuk mendapatkan akses pendidikan, kesihatan dan ekonomi yang stabil serta negara yang diiktiraf. Justeru, umat Islam dan dunia perlu bersatu dan bersama-sama menghentikan kezaliman pengaruh zionisme ini ke arah mewujudkan negara Palestin yang bebas dan berdaulat.