By: Jazuli Bello Ladan & Nasmatu Aliyu Media freedom refers to the ability of journalists…

Memperingati Deir Yassin, Malapetaka Sebelum Nakba
Oleh: Siti Zuliana Md Zuki
Tanggal 9 April 2023, genaplah tujuh puluh lima tahun peristiwa hitam yang berlaku di Deir Yassin, sebuah perkampungan Palestin yang dihuni seramai kira-kira 750 orang penduduk. Deir Yassin merupakan sebuah perkampungan kecil yang terletak di sebelah barat wilayah Baitul Maqdis. Pada malam 9 April 1948, penduduk kampung Deir Yassin telah dikejutkan dengan laungan dari pembesar suara untuk mengosongkan rumah mereka. Sebelum sempat mereka bertindak, serangan telah dilakukan oleh kumpulan pengganas Zionis dari kumpulan Stern, Haganah dan Irgun hingga menyebabkan kematian penduduk.
Kematian penduduk adalah sangat tragis dan mangsa adalah tidak mengira usia mahupun jantina. Menurut pegawai-pegawai daripada Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa dan PBB yang datang ke tempat kejadian, mereka menyaksikan bagaimana rumah-rumah penduduk Deir Yassin telah dibakar, manakala yang cuba melarikan diri dari api yang menyala telah ditembak bertalu-talu. Wanita-wanita hamil juga telah diseksa dengan teruk di mana perut mereka telah dirobek hidup-hidup. Menurut laporan, sepanjang serangan itu, seramai 52 orang kanak-kanak telah diseksa di hadapan ibu mereka sebelum kepala mereka dipenggal dan lebih daripada 60 orang wanita telah dibunuh dengan cara yang sangat kejam. Dianggarkan seramai 245 orang warga Palestin yang terkorban dalam peristiwa hitam itu. Peristiwa Deir Yassin adalah sebahagian daripada Perang Timur Tengah pada tahun 1948. Ia juga dirujuk sebagai Perang Kemerdekaan Israel, Perang Arab-Israel Pertama, atau Perang Palestin Pertama.
Kesan Demografik dan Ketenteraan
Peristiwa Deir Yasin menyebabkan kesan demografik dan politik yang mendalam. Berita tentang pembunuhan beramai-ramai itu menyebabkan suasana panik dalam kalangan rakyat Palestin. Ia merupakan detik penting dalam penghapusan etnik rakyat Palestin yang dilakukan oleh militia Zionis dan tentera baharu Israel untuk menjadikan Israel sebagai negara majoriti Yahudi di Palestin. Kira-kira tiga perempat rakyat Palestin iaitu dianggarkan lebih daripada 750,000 orang telah diusir dari tanah air mereka semasa penubuhan Israel. Peristiwa ini dikenali oleh rakyat Palestin sebagai Nakba iaitu malapetaka dalam bahasa Arab. Israel berhasrat untuk menakluki bahagian Arab di Palestin dan peperangan tercetus terutama di kawasan penduduk Arab seperti Galilea, di tengah Palestin, dan sekitar Baitulmaqdis.
Pembunuhan beramai-ramai di Deir Yassin dan penduduk Palestin yang melarikan diri dalam ketakutan merentasi sempadan membantu meyakinkan para pemimpin negara Arab jiran, yang pada mulanya enggan campur tangan, untuk terlibat secara ketenteraan apabila negara Israel diisytiharkan pada 15 Mei 1948. Peristiwa ini sekali gus menandakan permulaan siri perang serantau selama beberapa dekad berikutnya. Ketua Liga Arab, Azzam Pasha mengatakan bahawa, “pembunuhan beramai-ramai Deir Yassin adalah sebahagian besar punca kemarahan negara-negara Arab dan faktor terpenting untuk menghantar tentera Arab”. Nasib rakyat Palestin yang diusir semasa dan selepas penubuhan Israel dan penafian hak mereka untuk kembali ke tanah air mereka adalah salah satu masalah utama yang menyebabkan konflik ini berterusan. Kebanyakan mereka hidup sebagai pelarian tanpa kerakyatan di kem separa kekal yang miskin di bawah pemerintahan tentera Israel. Dapat disimpulkan bahawa insiden Deir Yassin berkait rapat dengan dua isu utama iaitu konflik Arab-Israel (permusuhan bersenjata terhadap Israel oleh negara-negara Arab) dan isu pelarian Palestin yang berterusan.
Menachem Begin, Perdana Menteri Israel yang keenam dalam memoirnya pada 1952, berkata tanpa Deir Yassin tidak akan ada Israel. Dalam masa setahun selepas peristiwa Deir Yasin, kampung itu telah dihuni semula oleh pendatang Yahudi ortodoks dari Poland, Romania dan Slovakia. Tanah perkuburannya lenyap dan namanya dihapuskan dari peta. Mitologi Israel berpendapat bahawa pada tahun 1948, orang Palestin hanya melarikan diri.
Ibrah daripada Peristiwa Deir Yassin
Deir Yassin merupakan kenangan pedih atas penderitaan, perjuangan dan pembunuhan terancang terhadap rakyat Palestin. Peristiwa hitam ini hanyalah satu daripada ribuan rentetan peristiwa yang berlaku kepada rakyat Palestin. Negara Palestin terus dijajah dan disembelih tanpa mendapat pembelaan yang selayaknya dari pihak antarabangsa. Sudah sampai masanya untuk kita memandang berat isu ini agar nasib rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh dunia terbela. Peristiwa ini telah mengajar kita untuk sentiasa berhati-hati dengan perancangan musuh-musuh Islam yang tidak pernah senang dengan perjuangan ini. Janganlah kita biarkan peristiwa-peristiwa hitam yang telah berlaku menjadi hanya sekadar sejarah, tetapi marilah bangkit dan melakar sejarah baru dalam memartabatkan kegemilangan Islam. Ulang tahun tragedi Deir Yassin haruslah diperingati dengan memperbaharui tekad dan komitmen untuk membela rakyat Palestin dan berjuang membebaskan seluruh bumi Palestin yang terjajah. Salah satu cara untuk merawat luka Deir Yassin adalah dengan kembali kepada prinsip Islam dan berjuang dengan ikhlas untuk mengembalikan maruah umat Islam di Palestin dan seluruh dunia. Hanya keadilan Islam yang akan mampu membawa keamanan dan keharmonian menyeluruh untuk semua generasi manusia.
Keseluruhannya, menerusi artikel ini, MyREF dan Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) melalui inisiatif, Justice for Palestine Action Front (JPAF) ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama memperingati peristiwa Deir Yassir yang masih terasa sakit dan pedihnya sehingga saat ini. Luka yang masih belum sembuh dan satu-satunya cara untuk menyembuhkan luka ini ialah dengan membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman Israel dengan menjadikan Palestine State for ALL.