By: Jazuli Bello Ladan & Nasmatu Aliyu Media freedom refers to the ability of journalists…

Antara Konflik dan Aspirasi Rakyat Palestin, Keperluan Solidariti Masyarakat Dunia
Oleh: Norazira Ali
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan tarikh 20 Disember setiap tahun sebagai Hari Solidariti Manusia Antarabangsa. Tarikh ini amat bermakna buat seluruh dunia dalam usaha menggalakkan perpaduan, keamanan dan persaudaraan untuk kepelbagaian. PBB melalui Resolusi 60/209 pada 22 Disember 2005 mengiktiraf perpaduan sebagai hak asasi dan universal untuk perpaduan yang menggambarkan hubungan antara masyarakat dunia pada abad ke-21 di samping mempromosikan keharmonian, pembangunan sosial dan ekonomi. Menurut PBB, tujuan sambutan ini diadakan untuk mengingatkan negara-negara tentang perjanjian antarabangsa dan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat. Antara lain, tujuan sambutan ini dibuat adalah untuk menyedarkan masyarakat dunia bahawa tiada manusia yang harus menjadi mangsa kelaparan, kemiskinan, penyakit, konflik, perang dan sebagainya.
Dalam membincangkan hal ini, kita tidak dapat lari dari menyentuh berkenaan Palestin yang telah berada selama 75 tahun di bawah kekejaman Israel. Bagaimana pula dengan hak rakyat Palestin yang dinafikan sekian lama? Dunia baru sahaja menyambut Hari Solidariti Antarabangsa bersama rakyat Palestin pada 29 November 2022. Hari yang signifikan disambut sejak 1978 ini diilhamkan menerusi resolusi PBB 30/42 B pada 2 Disember 1977. 29 November adalah tarikh bermakna kerana pada 29 November 1947, PBB telah meluluskan Resolusi 181 (II) yang mencadangkan pelan pembahagian tanah Palestin kepada tiga wilayah. Pertama, untuk penduduk Palestin. Kedua, untuk pendatang Yahudi. Dan ketiga, Jerusalem/Baitulmaqdis dijadikan wilayah antarabangsa. Apakah Resolusi ini dapat menyelesaikan pertelingkahan antara penduduk Palestin dan pendatang Yahudi serta menguntungkan rakyat Palestin selaku tuan tanah?
Sebagaimana masyarakat dunia dapat saksikan perkembangan konflik Palestin – Zionis Israel sehingga kini, belum menampakkan petanda positif. Pelbagai bentuk penindasan dan penganiayaan terjadi ke atas rakyat Palestin. Amat malang apabila berlaku pembunuhan secara besar-besaran (massacres), pembersihan etnik (ethnic cleansing) di perkampungan-perkampungan Palestin. Beratus ribu rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal dan ada yang terpaksa keluar menyelamatkan nyawa mencari perlindungan ke negara jiran seperti Jordan, Lubnan, Syria, Mesir. Manakala di Tebing Barat, aktiviti penempatan haram Yahudi Israel berterusan tanpa henti dan rakyat Palestin hidup dalam kesengsaraan apabila tanah dan rumah dirampas secara paksa. Sekatan dan konflik berterusan rejim Zionis Israel melumpuhkan ekonomi Palestin dan menyebabkan keperluan hidup mereka semakin membimbangkan. Bangunan awam, termasuk sekolah, hospital dan kediaman warga Palestin dirobohkan atas alasan tiada permit menjadikan rakyat Palestin semakin tersepit dan kehilangan tempat perlindungan serta kemudahan asas dengan dasar aparteid Israel. Hal yang sama terjadi apabila berlaku peperangan yang mana tempat awam, kanak-kanak, wanita, orang tua menjadi sasaran Zionis Israel sekali gus melanggar undang-undang antarabangsa.
Penderitaan dan kesengsaraan rakyat Palestin ternyata mendapat simpati serta bantuan daripada masyarakat antarabangsa secara berterusan. Menurut laporan Berita Harian pada September 2022, dana bantuan kemanusiaan penduduk Palestin meningkat dari tahun 2021 (AS$17 juta) menjadi AS$510 juta pada 2022. Pertambahan dari segi dana ini menunjukkan terdapat peningkatan permintaan terhadap keperluan memulihkan infrastruktur yang musnah teruk akibat peperangan dan kekacauan. Walaupun pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan dihulurkan untuk membantu Palestin dari dasar aparteid Israel, namun rakyat negara itu terus menghadapi penganiayaan dan peperangan.
Bersempena Hari Solidariti Manusia Antarabangsa, MyREF dan Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) melalui inisiatif, Justice for Palestine Action Front (JPAF) bersuara tegas dalam menyatakan pendirian bagi menghentikan sebarang bentuk kekejaman dan penindasan yang mengganggu gugat keamanan di Palestin. Menerusi artikel ini, JPAF ingin menekankan solidariti semua pihak dalam menjamin kesejahteraan warga Palestin. Selepas lebih 40 tahun bersolidariti dengan rakyat Palestin, Malaysia dengan kepimpinan baharu yang memiliki pengaruh di negara luar wajar melakukan advokasi, melobi dengan lebih agresif, memberi tekanan politik berterusan kepada Israel beserta sekutunya, perpaduan, solidariti, mendokong dan membantu misi kemanusiaan, serta sokongan akar umbi menangani isu kemanusiaan Palestin di persada dunia. Perjuangan rakyat Palestin adalah perjuangan yang panjang tanpa noktah. Dunia mesti mengembalikan maruah, harga diri, air mata dan aspirasi rakyat Palestin untuk mendapatkan kemerdekaan serta negara berdaulat.