skip to Main Content
Kelumpuhan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Di Palestin: Isu Dan Keprihatinan Sejagat

Kelumpuhan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan di Palestin: Isu dan Keprihatinan Sejagat

Oleh: Dr. Syaidatana Siti Aishah Ab Aziz & Dr. Mohd Rizal Abu Bakar

Sistem penjagaan kesihatan di Palestin pada masa ini semakin lumpuh susulan serangan Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza. Kemunculan pandemik COVID-19 telah memburukkan lagi sistem kesihatan Palestin dengan kesesakan di hospital dan kekurangan ubat-ubatan akibat kepungan dan sekatan Israel sejak 15 tahun lalu (Berita Harian, 19 Mei 2021). Meskipun perkhidmatan kesihatan tidak memuaskan, kerajaan Palestin tetap mensasarkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik untuk rakyatnya. Berdasarkan Strategi Kesihatan Kebangsaan 2017-2022, kerajaan Palestin telah berusaha memastikan penyediaan perkhidmatan yang menyeluruh dan bersepadu bagi semua rakyatnya. Hal ini selaras dengan komitmen antarabangsa Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goal, SDG) iaitu bagi mencapai perlindungan kesihatan sejagat dan kesihatan inklusif. Matlamat perkhidmatan Palestin adalah bertujuan memberi keperluan kesihatan kepada semua termasuk kanak-kanak, wanita, remaja, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta mereka yang terpinggir khususnya di Semenanjung Gaza dan Baitulmaqdis Timur. Walau bagaimanapun, matlamat ini tidak dapat dilaksanakan secara sepenuhnya apabila Israel enggan bertanggungjawab terhadap penjagaan kesihatan rakyat Palestin yang tinggal di wilayah yang diduduki oleh pendatang Israel (Israeli-Occupied Territories). Sebaliknya, Israel meneruskan dasar pengehadan yang memberi kesan buruk kepada kesihatan fizikal dan mental rakyat Palestin, kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan serta merencatkan pembangunan sistem kesihatan di Palestin.

Kelumpuhan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan di Palestin: Isu dan Keprihatinan Sejagat

Rakyat Palestin menghadapi cabaran besar dari segi aksesibiliti terhadap perkhidmatan kesihatan. Menurut Medecins Sans Frontieres (2021), kira-kira 300,000 rakyat Palestin yang tinggal di kawasan Tebing Barat menghadapi kesukaran mendapatkan penjagaan kesihatan dan mereka hanya bergantung kepada klinik bergerak untuk mendapatkan bekalan ubat dan perkhidmatan kesihatan. Situasi ini lebih membimbangkan di wilayah Selatan Hebron yang hampir tiada perkhidmatan kesihatan dalam tempoh yang lama akibat sekatan dana perubatan. Selain kekangan tersebut, rakyat Palestin juga sukar mendapat akses perkhidmatan kesihatan kerana kekangan pengangkutan. Misalnya yang berlaku di Masafer Yatta yang tidak mempunyai sistem pengangkutan awam untuk memudahkan mobiliti penduduk setempat.

Aksesibiliti terhadap sistem penjagaan dan perkhidmatan kesihatan di Palestin turut terjejas teruk dengan proses permohonan permit yang dikenakan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin. Contohnya, majoriti pesakit dari Tebing Barat yang memerlukan akses ke hospital di Baitulmaqdis Timur perlu memohon permit dari pihak berkuasa Israel. Walau bagaimanapun, permit tersebut diberikan dengan syarat dan beberapa pengecualian antaranya, mereka tidak dibenarkan menemani pesakit terutamanya kanak-kanak dan warga emas yang perlu pertolongan saudara mara. Keadaan ini amat menyukarkan penjaga pesakit dan lebih mengecewakan apabila hanya separuh permohonan permit diluluskan. Hampir satu daripada lima pesakit Gaza yang memohon permit untuk mendapatkan rawatan perubatan di Baitulmaqdis Timur, Jordan, Israel atau Tebing Barat telah dinafikan hak mereka.

Selain itu, perkhidmatan kesihatan di Palestin berisiko tinggi untuk lumpuh disebabkan kekurangan infrastruktur seperti di Wilayah Tebing Barat. Rakyat Palestin tidak dibenarkan membina sebarang struktur kekal atau separuh kekal tanpa permit daripada pihak berkuasa Israel yang jarang diberikan (Medecins Sans Frontieres, 2021). Laporan daripada Anera (2020) menyatakan majoriti hospital mengalami kekurangan bekalan yang kritikal seperti peralatan perubatan, ubat-ubatan dan peralatan perlindungan. Bilangan katil dan ventilator juga berkurangan apabila wabak COVID-19 melanda dengan serius. Gangguan bekalan elektrik dan air bersih juga menjadi cabaran dalam memberi perkhidmatan kesihatan kepada pesakit di Palestin. Situasi ini menyukarkan para perawat untuk melaksanakan prosedur perubatan seperti pembedahan selain menyediakan ruang dan tempat rawatan yang bersih dengan peralatan yang berfungsi sepenuhnya. Kesemua cabaran ini mengakibatkan sistem dan perkhidmatan kesihatan di Palestin kurang optimum, ditambah dengan masalah kakitangan kesihatan yang terhad, terutamanya kekurangan doktor dalam beberapa bidang kritikal seperti neurologi, onkologi, pembedahan dan psikiatri.

Di samping itu, kanak-kanak turut terlibat kesan keterhadan terhadap penjagaan kesihatan di Palestin. Ramai kanak-kanak berisiko mengalami masalah seperti kekurangan makanan, kesihatan mental, penderaan dan lain-lain. Status kesihatan mental kanak-kanak di Palestin amat membimbangkan dengan majoriti daripada mereka berhadapan dengan masalah kemurungan akibat daripada peperangan dan pergolakan yang tidak berkesudahan. Menurut Anera (2020), pada tahun 2003, 93% kanak-kanak Palestin berisiko mengalami gangguan mental yang mengakibatkan wujudnya perasaan takut, kehilangan dan rasa terancam yang melampau. Majoriti gangguan mental ini berpunca daripada pengalaman mereka melihat aktiviti keganasan secara langsung atau menyaksikan ahli keluarga terdekat menjadi mangsa keganasan. Selain itu, pergolakan dan peperangan juga mengakibatkan kanak-kanak Palestin yang sedia dihimpit kemiskinan mengalami kekurangan zat sehingga membantutkan tumbesaran. Keadaan ini dibuktikan dengan 62% penduduk di Gaza tidak mendapat makanan yang mencukupi dan memakan makanan yang kurang baik.

Selain kanak-kanak, warga tua di Palestin turut terjejas dengan kesihatan yang semakin merosot. Menurut kajian yang dilakukan oleh El Wedad Society for Community Rehabilitation, 80% warga tua mempunyai keperluan mendesak terhadap ubat dan barangan perubatan. Kira-kira 45% daripada mereka tidur dalam keadaan lapar sekurang-kurangnya pada satu malam setiap minggu, manakala 39% pula menghadapi kesukaran untuk mengakses dan menggunakan air untuk tujuan asas seperti minum dan mandi. Data lain menunjukkan 78% daripada mereka berasa cemas manakala 52% melaporkan mereka berasa tertekan sepanjang masa. Golongan wanita juga tidak terkecuali dalam menerima tempias daripada peperangan dan pergolakan di Palestin. Menurut Annual Report of Hospitals, Ministry of Health, 2015 kira-kira 25% wanita hamil di Palestin menghadapi risiko kematian semasa bersalin. Di Gaza, kira-kira 23% daripada 14,000 wanita berisiko mengalami kelahiran pramatang dan 25% daripada mereka berisiko mengalami anemia.

Kelumpuhan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan di Palestin: Isu dan Keprihatinan Sejagat

Peranan NGO, negara-negara Islam dan badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu amat diharapkan untuk mengurangkan kesulitan rakyat Palestin dalam mengakses perkhidmatan kesihatan yang optimum. Setakat ini, badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah merayu bantuan sekitar AS$7 juta (RM29.6 juta) untuk membiayai dan menambahbaik perkhidmatan kesihatan di Palestin, namun hanya AS$2.3 juta (RM9.7 juta) berjaya diperolehi. Pada tahun 2022, UNICEF juga telah memohon sejumlah AS$39.5 juta (RM167.2 juta) untuk memastikan 731,420 orang mendapat akses kepada air yang selamat diminum dan untuk keperluan domestik. Walau bagaimanapun, segala usaha ini tidak akan memberikan kesan sekiranya rejim Zionis Israel masih dibiarkan bermaharalajela menindas dan membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa. Tindakan tegas perlu diambil oleh semua pihak yang cintakan keamanan untuk menghentikan keganasan yang tidak berkesudahan oleh rejim Zionis Israel.

Penderitaan dan kesengsaraan rakyat Palestin untuk mengakses perkhidmatan kesihatan yang baik wajar dipandang serius oleh masyarakat dunia. Hal ini bertepatan dengan tema Hari Kesihatan Sedunia tahun ini, “Planet Kita, Kesihatan Kita”. Penjagaan dan perkhidmatan kesihatan merupakan perkara asas yang wajib diterima oleh semua pihak demi kesejahteraan sejagat. Bersempena Hari Kesihatan Sedunia pada 7 April 2022, Malaysian Research and Education Foundation (MyREF) dan Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) melalui inisiatif, Justice for Palestine Action Front (JPAF) tegas dalam menyatakan pendirian untuk menghentikan diskriminasi dan membawa keamanan, kebebasan dan keadilan kepada rakyat Palestin. JPAF hadir dengan idea untuk memperjuangkan hak asasi dari segi kesihatan, pendidikan, tempat tinggal dan sebagainya untuk keadilan rakyat Palestin.

Back To Top