skip to Main Content
Suara-Palestin-Menghapus-Diskriminasi-Kaum

Suara Palestin, Menghapus Diskriminasi Kaum

Oleh: Dr. Syaidatana Siti Aishah Ab Aziz & Dr. Mohd Rizal Abu Bakar

Konflik di Palestin dilihat tiada berkesudahan semenjak tahun 1948 sehingga kini. Penduduk Palestin menghadapi penderitaan yang berterusan akibat peperangan dan tekanan berganda dialami semenjak pandemik COVID-19. Berdasarkan situasi ini, rakyat Palestin sentiasa dalam keadaan keperitan dan kesulitan serta hidup dalam penuh penyeksaan dan ketidakadilan. Sedangkan dalam Matlamat Pembangunan Lestari yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ada dinyatakan dalam matlamat keempat iaitu mengurangkan ketidaksamaan antara negara. Matlamat ini menyasarkan penggalakan kadar pertumbuhan negara yang lebih baik dengan menggalakkan penyertaan sosial, ekonomi dan politik. PBB, dalam Perhimpunan Agong telah menegaskan prinsip kesaksamaan bahawa manusia memiliki kebebasan dalam aspek maruah dan hak. Kebebasan ini sebenarnya mampu menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat. Namun perkara ini tidak berlaku sama sekali di Palestin kerana sudah 74 tahun negara tersebut bergolak dengan melibatkan tiga generasi rakyat Palestin dan sehingga kini masih tiada sebarang harapan untuk kembali seperti sebelumnya.

Suara-Palestin-Menghapus-Diskriminasi-Kaum

Perkara yang lebih memilukan apabila Israel didakwa melakukan jenayah aparteid terhadap penduduk Palestin. Regim Israel menganggap rakyat Palestin sebagai kumpulan kaum yang dipandang rendah dan hina sehingga mereka menguatkuasakan sistem berbentuk penindasan dan penguasaan terhadap penduduk Palestin. Menerusi laporan Amnesty International (2019), pelbagai penyalahgunaan yang dilakukan oleh Israel antaranya rampasan tanah dan harta warga Palestin, pembunuhan, pemindahan orang secara paksa, sekatan pergerakan ketat serta penafian kewarganegaraan. Israel juga sedang menguatkuasakan sistem penindasan dan penguatkuasaan dengan mengawal hak negara Palestin yang melibatkan warga Arab Israel, rakyat Palestin di wilayah yang diduduki Israel serta pelarian yang tinggal di luar negara. Tindakan lain termasuk sekatan ke atas pergerakan Palestin di wilayah yang diduduki dalam perang Asia Barat 1967, kekurangan pelaburan dalam komuniti Palestin di Israel dan menghalang kepulangan pelarian Palestin. Kesemua bentuk penindasan oleh Israel berlaku di bawah dasar aparteid jelas dapat dikatakan sebagai jenayah kemanusiaan.

Salah satu jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel adalah menafikan hak kewarganegaraan rakyat Palestin. Perkara ini dapat dilihat apabila Mahkamah Daerah Haifa mengekalkan keputusan untuk membatalkan kewarganegaraan seorang warga Palestin dan dianggap tidak bernegara di atas cubaan membunuh. Pada 2018, Israel telah mengusir 12 komuniti Badwi di Baitulmaqdis Timur yang terdiri daripada 1,400 orang dan sehingga kini seramai 100, 000 orang penduduk Palestin yang tinggal di perkampungan Badwi dan kesemua mereka tidak diiktiraf oleh Israel. Dalam pada itu, Israel menganggap penduduk Arab Badwi sebagai golongan setinggan dan mereka tidak disediakan prasarana kemudahan seperti bangunan, elektrik, air bersih, sistem jalan raya, sekolah mahupun hospital. Keadaan ini lebih menyulitkan dengan penafian kewarganegaraan terhadap Arab Badwi Palestin dari kawasan Naqab tanpa melalui proses yang sewajarnya atau memfailkan rayuan. Keadaan ini menyebabkan mereka kehilangan hak kewarganegaraan.

Selain itu, Israel juga telah merampas tanah rakyat Palestin setelah menceroboh negara tersebut secara haram di Tebing Barat. Perkara ini merupakan tindakan yang tidak wajar dan menyalahi undang-undang. Pada awal tahun 2020, sebuah mahkamah Israel di daerah Baitumaqdis membuat keputusan bahawa rumah-rumah penduduk Palestin di kawasan penempatan Sheikh Jarrah merupakan sah milik beberapa pendatang haram. Mahkamah membuat keputusan bahawa terdapat beberapa keluarga perlu meninggalkan rumah masing-masing walaupun telah tinggal selama beberapa generasi di Sheikh Jarrah. Pada tahun 2020, 170 struktur bangunan milik penduduk Palestin dilaporkan dimusnahkan oleh rejim Israel termasuk 105 buah rumah yang menyebabkan 385 penduduk hilang tempat tinggal. Lebih kurang 200,000 penduduk Yahudi dilaporkan tinggal di Baitulmaqdis Timur dan mendapat perlindungan polis dan tentera. Pasukan tentera Israel turut ingin memusnahkan perkampungan rakyat Palestin. Tentera Israel telah menghalang pemilik tanah rakyat Palestin daripada memasuki kawasan perkampungan Um Batin dan Tel As-Sabi di kawasan gurun Naqab. Walau bagaimanapun, negara Palestin mempunyai hak untuk memiliki harta tanpa diskriminasi mengikut undang-undang dalam artikel 21, Undang-Undang Asas Pindaan, artikel 8 Akta Pengambilan Tanah bagi tujuan Awam 1943. Namun, Israel sebagai kuasa penjajah mendiskriminasi hak tersebut. Mereka melakukan rampasan tanah meliputi 55 peratus daripada wilayah Palestin yang diduduki. Rentetan provokasi yang semakin meningkat, PBB menegaskan tindakan Israel jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Krisis yang semakin meruncing ini mencetuskan amarah dan mencetuskan pertempuran dengan pihak rejim Israel.

Keadaan bertambah rumit di Palestin dengan wujudnya undang-undang perkauman. Menurut Maat for Peace, Development and Human Right (2019), pada tahun 2016, Knesset telah meluluskan Undang-undang Membanteras Keganasan yang hanya terpakai kepada warga Palestin yang tinggal di Palestin. Berdasarkan undang-undang ini, badan kebajikan Palestin boleh dianggap sebagai organisasi penggganas sekiranya mempunyai hubungan dengan organisasi yang dianggap pengganas oleh Israel. Pada tahun yang sama, Knesset telah meluluskan undang-undang yang menghalang penyatuan semula keluarga yang tinggal di Palestin. Undang-undang ini melarang warga Palestin tidak menetap di sana atau belum berkahwin dengan warga Palestin untuk menjadi warganegara tersebut.

Tindakan menghalau dan mengusir penduduk asal di sesuatu kawasan yang dijajah melalui pelbagai cara tanpa kebenaran undang-undang antarabangsa merupakan satu bentuk kesalahan jenayah perang yang boleh didakwa. Tindakan ini telah dilakukan oleh rejim Israel berulang kali melalui pengambilan tanah secara haram serta menghalau penduduk Palestin dari tanah mereka sendiri, di samping menafikan hak-hak kemanusiaan rakyat Palestin.

Suara-Palestin-Menghapus-Diskriminasi-Kaum

Selain kehilangan hak kerakyatan dan tanah yang diduduki, rakyat Palestin turut kehilangan hak pendidikan. Menurut Perkara 24 Undang-undang Asas Pindaan, Akta Pendidikan 2017 memperuntukan hak untuk pendidikan kepada semua penduduknya. Namun, menurut laporan United Nations Children’s Fund (UNICEF) pada tahun 2018, 25 peratus daripada 95.4 peratus kanak-kanak yang mendaftar untuk mendapatkan keperluan pendidikan di Palestin menghadapi keciciran. Lebih menyedihkan, 22.5 peratus kanak-kanak lelaki dan 30 peratus kanak-kanak perempuan berumur 6 hingga 15 tahun tidak pernah mendaftar ke sekolah. Data juga menunjukkan lebih kurang setengah juta kanak-kanak di Palestin memerlukan bantuan kemanusiaan bagi mendapatkan pendidikan berkualiti. Sekatan yang dikenakan oleh pihak Israel terhadap kanak-kanak menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk ke sekolah kerana perlu melalui pusat pemeriksaan sepanjang laluan perjalanan mereka pergi dan pulang ke sekolah. Konflik yang berlarutan di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis dan semenanjung Gaza menimbulkan cabaran dan ancaman kepada kanak-kanak di Palestin. Keganasan terhadap kanak-kanak mendatangkan kebimbangan yang serius kerana pembelajaran dan masa depan mereka turut terjejas.

Oleh yang demikian, sempena Hari Penghapusan Diskriminasi Kaum Antarabangsa pada 21 Mac, Malaysian Research and Education Foundation (MyREF) melalui inisiatif Justice for Peace Action Front (JPAF) bersuara tegas dalam menyatakan pendirian bagi menghentikan sebarang bentuk diskriminasi, penindasan dan kezaliman terhadap rakyat Palestin. Rakyat Palestin, seperti mana-mana manusia di dunia inginkan keamanan dan keharmonian. Mereka inginkan pendidikan berkualiti, ekonomi yang stabil dan negara yang berdaulat dan diiktiraf, namun sehingga kini, semua hak-hak tersebut telah dinafikan oleh rejim Israel yang zalim. Umat Islam dan dunia perlu bersatu dan bersama-sama menghentikan kezaliman ini ke arah mewujudkan dunia yang aman tanpa diskriminasi.

Back To Top