skip to Main Content
Kemanan Palestine

Keamanan Palestin: Kesatuan Kepimpinan dan Perpaduan Politik

Oleh: Dr. Nurhidayah Marzuki@Yahaya & Dr. Mohamad Nizam Yusof

Palestin menghadapi konflik keamanan selama hampir puluhan tahun yang meragut banyak nyawa penduduknya. Menelusuri sejarah Palestin, konflik politik di antara Fatah dengan Hamas antara salah satu faktor yang menyulitkan keamanan negara tersebut. Perbezaan ideologi antara kedua-dua pihak turut membuka ruang dan peluang kepada Israel dengan menimbulkan perbalahan sesama pucuk pimpinan dan rakyat Palestin sendiri. Konflik politik ini bermula selepas pilihan raya pada tahun 2006, apabila Hamas mendapat mandat untuk memerintah dengan menguasai Tebing Gaza dan Fatah menguasai Tebing Barat. Masing-masing mempunyai matlamat perjuangan yang tersendiri. Pertelagahan antara pimpinan politik Fatah dan Hamas turut membawa kepada perpecahan kerajaan Arab dan sesama Islam, khususnya isu Palestin dan politik antarabangsa. Meskipun pelbagai cara telah dilaksanakan untuk menyatukan kembali kedua-dua pihak namun tetap menemui jalan buntu.

Palestinian President Abbas gives letter of appointment to PM Haniyeh in Gaza

Perbezaan ideologi antara Fatah dan Hamas telah menyebabkan konflik ini berlaku secara berterusan. Menurut Dr. Abu Hanifah Haris dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya, konflik awal antara Hamas-Fatah berlaku apabila Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang dikuasai Fatah telah menerima resolusi Perjanjian Damai Madrid 1991. Hasilnya, Israel menarik balik status pengganas pada PLO. Kemuncak ketegangan Hamas-Fatah berlaku pada 1993, apabila PLO menandatangani Perjanjian Damai Oslo antara PLO dan Israel. Perjanjian tersebut tidak dipersetujui oleh Hamas dan majoriti penduduk Palestin sendiri. Dalam hal ini, Hamas melihat bahawa kerjasama dengan Israel adalah sia-sia dan turut mengkhianati kepercayaan rakyat Palestin terhadap PLO.

Kemuncak konflik yang terkini berlaku pada tahun 2007, memperlihatkan Arab Saudi mengatur pertemuan antara Hamas dan Fatah untuk memeterai perjanjian bagi menyelesaikan konflik di antara kedua-dua pihak, seterusnya berjuang sebagai satu barisan menentang Israel. Walau bagaimanapun, perjanjian tersebut tidak berjaya, malah menyaksikan kembali perbezaan ideologi politik antara Hamas dan Fatah. Tambahan pula, Presiden Mahmoud Abbas telah bertindak melantik Perdana Menteri Palestin yang baharu dan berakhir dengan kehadiran dua orang Perdana Menteri yang menguasai Palestin iaitu di Gaza dan Tebing Barat.

Usaha untuk mendamaikan kedua-dua parti politik ini telah berlaku beberapa kali. Pada tahun 2014, Fatah dan Hamas bersetuju untuk mengadakan perjanjian damai dan menubuhkan kerajaan campuran. Pada ketika itu, kedudukan kedua-duanya sangat kritikal sehingga menuntut mereka mengambil tindakan untuk berdamai. Pada tahun 2017, Pihak Berkuasa Palestin (PLA) bersetuju membentuk kerajaan perpaduan sebelum pilihan raya. Kerajaan perpaduan ini akan dikenali sebagai Majlis Kebangsaan. Terkini, pada tahun 2021, Fatah dan Hamas telah memeterai satu perjanjian di Kaherah, Mesir berhubung pelaksanaan dua pilihan raya yang akan diadakan di Palestin.

Realitinya, hubungan Fatah dan Hamas sukar untuk dipulihkan selagi tiada penyatuan dan persefahaman bersama, khususnya isu kerjasama dan perjanjian damai dengan Israel. Keamanan Palestin sulit untuk dicapai sejak negara Israel ditubuhkan pada 1948. Semenjak itu penduduk Palestin berjuang untuk membebaskan tanah air mereka sendiri sehingga ramai yang terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak Palestin dalam beberapa siri serangan Israel.

keamanan palestine

Oleh yang demikian, sempena “International Day of Living Together in Peace” pada 16 Mei, MyREF dan Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) melalui inisiatif, Justice for Palestine Action Front (JPAF) bersuara tegas dalam menyatakan pendirian bagi menghentikan sebarang bentuk penindasan dan konflik yang mengganggu gugat keamanan di Palestin dan juga menyeru umat Islam untuk bersatu dalam mencapai “Palestin: Negara untuk Semua”. Menerusi artikel ini, JPAF ingin menekankan kepentingan penyatuan rakyat Palestin khususnya pimpinan politik yang meneraju negara ke arah pembebasan Palestin dan seterusnya dapat membawa keamanan, kebebasan dan keadilan kepada rakyat Palestin.

Back To Top