By: Jazuli Bello Ladan & Nasmatu Aliyu Media freedom refers to the ability of journalists…

Penyeksaan di Palestin, Desakan Suara Antarabangsa
Oleh: Dr. Yusma Fariza Yasin
Sejak penubuhan negara Israel pada tahun 1948, Agensi Keselamatan Israel (Israeli Security Agency, ISA) telah melakukan pelbagai bentuk penyeksaan kepada penduduk Palestin. Israel telah melakukan pelbagai cara untuk membenarkan penyeksaan ini berlaku secara sah di Palestin. Bahkan, Israel tidak meluluskan undang-undang domestik yang melarang sebarang penyeksaan dan mahkamah Israel membenarkan penyeksaan sebagai kes “keperluan”. Hal ini memberi kebebasan kepada ISA untuk melakukan penyeksaan kepada tahanan politik dan rakyat Palestin. Kekejaman yang dilakukan pihak Israel ini seolah tidak mempedulikan undang-undang yang telah sedia ada. Hakikatnya, segala bentuk penyeksaan telah tersenarai sebagai jenayah di bawah undang-undang antarabangsa.
Pada Disember 1997 di bawah resolusi 52/149, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan 26 Jun sebagai memperingati “United Nation International Day in Support of Victims of Torture” bagi menyekat aktiviti penyeksaan serta memberi sokongan kepada mangsa kekejaman dan penyeksaan di seluruh dunia. Di samping itu, sejak 1981, Dana PBB telah mengarahkan lebih 180 juta USD kepada lebih daripada 630 organisasi di seluruh dunia. Sebagai dana kemanusiaan tertua dan terbesar, ia menyediakan perkhidmatan penting kepada lebih 50,000 mangsa penyeksaan dan ahli keluarga mereka setiap tahun. Namun demikian, PBB dan dunia seakan-akan berdiam diri dalam hal berkaitan penyeksaan terhadap Palestin.
Dalam konteks negara Palestin, penyeksaan Israel terhadap Palestin telah bermula sejak tahun 1920 apabila British diberi mandat terhadap negara Palestin. Sejak itu, ramai penduduk Palestin yang diserang, ditangkap, dibunuh, serta ditembak tanpa sebarang perbicaraan sama ada kanak-kanak, wanita, orang tua mahupun orang yang sakit. Kekejaman ini berterusan sehingga sanggup mengebom dan menembak penduduk Palestin dengan peluru berpandu dan senjata kimia. Kezaliman pihak Zionis turut terbukti apabila mereka membunuh beberapa orang Palestin yang tinggal di serata dunia kerana dikhuatiri berpengaruh dan mengancam keselamatan pihaknya. Alasan yang diberikan oleh pihak Israel apabila ditentang oleh penduduk dunia adalah dengan menggunakan konsep “antisemitism” atau anti-Yahudi yang bertujuan menagih simpati penduduk dunia.
Penyeksaan secara berterusan ini memberi kesan kepada rakyat Palestin dari sudut fizikal, emosi dan mental. Israel melakukan pelbagai penyeksaan kepada tahanan penjara termasuklah layanan yang memalukan, melakukan serangan, penggeledahan dan pengasingan dari dunia luar bagi tempoh yang panjang terutama semasa soal siasat. Malah, bagi mematahkan perjuangan rakyat Palestin, ISA menahan rakyat Palestin yang aktif menolak hegemoni Israel untuk meletakkan mereka dalam situasi tidak berdaya. Seksaan mental turut diberikan kepada mangsa tahanan penjara oleh perisikan Israel dengan memperdaya fikiran tahanan seolah memperlihatkan mereka mengetahui segala maklumat tahanan. Taktik psikologi ini paling kerap digunakan agar tahanan berasa ragu-ragu terhadap persekitaran mereka untuk tempoh yang lama. Tambahan pula, ramai rakyat Palestin melaporkan bahawa mereka sememangnya menghadapi tekanan psikologi yang teruk akibat penyeksaan semasa penahanan. Lebih-lebih lagi, di pusat soal siasat yang mengasingkan mereka sepenuhnya dari dunia luar dalam tempoh masa yang lama. Walau bagaimanapun, menurut Anadolu Agency (AA) (2021), ramai tahanan dan bekas tahanan telah pulih daripada gangguan mental yang serius, seperti gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) atau gangguan kecemasan.
Dalam membincangkan isu ini, terbaharu Malakat Tribune melaporkan, sejumlah 95 peratus tahanan Palestin di Israel diseksa dengan kejam. Menerusi laporan tersebut, Persatuan Tahanan Palestin (PPS) memaklumkan bahawa tentera Israel menggunakan pelbagai kaedah bagi menyeksa tahanan sama ada secara fizikal mahupun psikologi melalui sistem keganasan yang komprehensif. Tambahan pula, tahanan Palestin juga didapati kurang waktu tidur akibat daripada sesi soal siasat yang berterusan sehingga 20 jam sehari. Bukan itu sahaja, mereka juga diseksa dengan cara disekat peredaran darah pada bahagian tangan dan ditutup kepala dengan menggunakan beg yang kotor. Pihak rejim Zionis turut menyeksa tahanan Palestin dengan memukul, menampar serta menghamburkan kata-kata yang kesat serta hinaan secara sengaja kepada tahanan Palestin. Terdapat juga kanak-kanak yang menjadi mangsa tahanan penjara diperlakukan kejam apabila mereka ditampar, ditumbuk atau ditendang, penderaan lisan, penghinaan, ugutan dan kutukan yang merendahkan maruah kanak-kanak. Menurut Middle East Monitor (2022), Israel telah menahan dan menangkap 53,000 orang kanak-kanak sejak tahun 1967. Penangkapan kanak-kanak ini juga tertakhluk kepada syarat penyeksaan, penyiasatan dan penahanan yang sama.
Dalam pada itu, bukan sahaja mangsa tahanan malah keluarga tahanan juga akan merasai tempias penyeksaan yang dilakukan Israel. Israel turut mengancam untuk membunuh anggota keluarga mangsa serta mengugut untuk merobohkan bangunan kediaman tahanan Palestin, mengenakan bayaran prosiding perbicaraan yang tinggi dan penahanan ahli keluarga. Segala bentuk ancaman ini bertujuan memberi tekanan kepada tahanan sendiri. Hal ini jelas melanggar hak keluarga tahanan selain menjejaskan kesihatan mental tahanan kerana mereka akan berkecenderungan menyalahkan diri mereka sendiri. Menurut PPS sememangnya terdapat kes tahanan Palestin yang mengalami tekanan psikologi teruk akibat ditempatkan dalam kurungan penjara secara bersendirian. PPS turut menganggap cara kurungan bersendirian ini merupakan kaedah penyeksaan yang paling berbahaya.
Serangan Israel dengan pelbagai bentuk penyeksaan secara bertubi-tubi terhadap rakyat Palestin meninggalkan kesan trauma yang mendalam. Tindakan merampas, merobohkan rumah, pembunuhan yang jelas menyalahi undang-undang dan penahanan tanpa perbicaraaan menyebabkan trauma dan kesan psikologi yang mendalam kepada penduduk Palestin. Pada masa yang sama, aktiviti penyeksaan ini boleh memusnahkan harga diri dan menyebabkan mereka berasa “learned helplessness” iaitu berasa pasrah dengan nasib mereka seterusnya mendedahkan mereka kepada kemurungan.
Oleh yang demikian, bersempena “United Nation International Day in Support of Victims of Torture” pada 26 Jun, MyREF dan Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) melalui inisiatif, Justice for Palestine Action Front (JPAF) bersuara tegas dalam menyatakan pendirian bagi menghentikan sebarang bentuk kekejaman dan penganiayaan yang mengganggu gugat keamanan di Palestin. Hal ini sekali gus menyokong saranan PBB dan 162 negara yang turut sama memerangi segala bentuk penyeksaan di peringkat antarabangsa dan menyeru supaya PBB berlaku adil dan saksama dalam memperjuangkan mangsa penyeksaan rakyat Palestin. Menerusi artikel ini, JPAF ingin menekankan kepentingan solidariti umat Islam dalam menentang penyeksaan rejim Zionis terhadap Palestin dalam mencapai “Palestin: Negara untuk Semua”.