By: Jazuli Bello Ladan & Nasmatu Aliyu Media freedom refers to the ability of journalists…

Ilusi Politik dalam Membebaskan Palestin
Oleh: Dr Syaidatana Siti Aishah Ab Aziz & Dr Mohd Rizal Abu Bakar
Realiti perjuangan bagi memerdekakan Palestin dianggap bukan perkara mudah. Pergolakan politik Palestin ditambah desakan pihak Israel menyebabkan proses perdamaian menjadi ilusi semata. Meskipun Palestin merupakan anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun kegagalan dalam menuntut keadilan dan kemerdekaan terus gagal. Situasi ini menjadi semakin rumit apabila termeterainya Perjanjian Oslo sejak 30 tahun lalu iaitu sejak 13 September 1993. Rundingan Oslo ini adalah usaha untuk menubuhkan dua negara dalam satu wilayah melalui “Two State Solution” dalam menyelesaikan konflik Israel dan Palestin. Walau bagaimanapun, perjanjian yang ditandatangani oleh Palestine Liberation Organisation (PLO) dengan rejim zionis Israel ini diibaratkan seperti ‘musuh dalam selimut’ telah menyebabkan sukarnya penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka. Perjanjian ini disepakati antara Palestin dengan Israel sehingga membolehkan Israel menabur janji agar Palestin diberikan kebenaran untuk mentadbir wilayahnya sendiri serta mengiktiraf kemerdekaan negara Palestin. Selain itu, perjanjian ini jelas menunjukkan sikap tidak telus yang ditunjukkan oleh Amerika Syarikat dan rakan sekutunya Israel untuk menakluki Palestin. Perjanjian ini juga dianggap sebagai retorik untuk mencapai cita-cita Israel.
Hasil daripada Perjanjian Oslo maka tertubuhlah Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang telah dinamakan semula oleh Palestin sebagai Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin atau PNA. Menurut Mohsen Mohammad Saleh (2022), berdasarkan Ilusi Politik Palestin ke-6, PA bertanggungjawab mengambil sebahagian pentadbiran dan keselamatan ke atas kawasan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza ketika tentera Israel berundur dari kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, Israel jelas membuat pengakuan bahawa Pihak Berkuasa Palestin adalah entiti kerjasama yang mempunyai matlamat untuk membantu mengekalkan pendudukan Israel di Tebing Barat. Buktinya, Pihak Berkuasa Palestin sering menangkap, menyeksa dan memenjarakan pejuang penentangan Palestin, aktivis dan juga wartawan. Kezaliman ini dilakukan bagi menjadikan kerja Israel lebih mudah untuk menguasai Palestin. Jelaslah bahawa Pihak Berkuasa Palestin yang dirangka regim Israel dan Barat umpama ‘gunting dalam lipatan’ yang membolehkan rejim Israel mengakses, menceroboh dan merampas tanah milik rakyat Palestin. Pihak Berkuasa Palestin tidak mampu berbuat apa-apa dan diberikan tempoh 5 tahun untuk melaksanakan pentadbiran di wilayah-wilayah Palestin. Sepanjang tempoh tersebut, bukan hanya kezaliman yang dikerah malah sumber asli daripada bumi Palestin turut dijarah sehingga hanya tinggal 20 peratus menjadi kepunyaan bumi Palestin. Kedudukan Pihak Berkuasa Palestin terus dikritik kerana kegagalannya melindungi kem pelarian bagi penduduk bandar mahupun kampung di Palestin. Menurut Khalil E. Jashan dalam Arab Center Washington DC pada 7 Ogos 2023, Pihak Berkuasa Palestin dipersalahkan kerana gagal bertindak balas dengan berkesan dan mengambil kesempatan daripada perkembangan politik dan pergolakan di Israel. Majoriti besar rakyat Palestin menyalahkan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang menyebabkan perpecahan puak-puak politik kerana kegagalan mereka untuk bangkit dalam mempertahankan kepentingan nasional Palestin. Lebih penting lagi, mereka gagal melindungi nyawa rakyat Palestin pada saat genting semasa konfrontasi dengan Israel.
Oleh sebab itu, perpaduan Palestin telah menjadi objektif nasional bagi menuntut kemerdekaan negara tersebut. Parti politik Palestin yang terdiri daripada Hamas dan Fatah sememangnya tidak mempunyai kesefahaman daripada segi fikrah politiknya. Hamas atau nama sebenarnya Harakat al-Muqawwatul Islamiyyah bermaksud Gerakan Pertahanan Islam. Hamas menganggotai Palestine Liberation Organization atau PLO bersama Fatah. Parti ini dianggap sebagai parti Islam di Palestin. Fatah atau Harakat al-Tahrir al-Watani al-Filastini bermaksud Gerakan Kebangsaan Pembebasan Palestin. Fatah menjadi kekuatan utama dalam organisasi PLO sebagai wakil pelbagai parti lain yang ingin menentukan nasib mereka sendiri. Parti Fatah dianggap sebagai parti Nasionalis dan bersifat sekular di Palestin. Matlamat kedua-dua parti ini adalah sama iaitu ingin membebaskan Palestin dengan acuan rakyat Palestin sendiri tanpa melibatkan pihak luar. Walau bagaimanapun, apabila berlaku kekalahan Fatah dalam pilihanraya Palestin pada Januari 2006, menyebabkan berlaku ketegangan dalam politik Palestin. Ketegangan bertambah rumit apabila kedua-dua parti gagal dalam beberapa kali rundingan menyebabkan Hamas mengambil alih Gaza pada Jun 2007. Hal ini membolehkan Israel dan seluruh masyarakat antarabangsa berurusan dengan entiti Palestin yang berpecah-belah seterusnya menyukarkan penyelesaian konflik Palestin dengan Israel. Puak Fatah mendominasi Pihak Berkuasa Palestin yang berpangkalan di Tebing Barat yang diduduki Israel, manakala Hamas mengawal Semenanjung Gaza. Dalam pertelingkahan yang berlaku, Israel dan Amerika Syarikat memainkan peranan sebagai penyelamat dengan menyokong Fatah yang dilihat lebih diplomasi berbanding Hamas. Perpecahan politik itu berterusan walaupun sudah terdapat percubaan untuk membentuk pemerintah perpaduan nasional dan menyatukan kedua-dua belah pihak Fatah dan Hamas. Bagi menghentikan pergelutan konflik ini, perlu wujud kesungguhan politik di antara kedua-dua belah pihak iaitu Israel dan Palestin untuk mencapai persetujuan melalui rundingan damai. Sejak tahun 2007, perebutan kuasa dua kelompok ini mengakibatkan Palestin terbahagi kepada dua wilayah pentadbiran antara Tebing Barat dan Gaza.
Menurut Mohsen Mohammad Saleh (2022), berdasarkan Ilusi Politik di Palestin ke-16, penjajahan di Palestin bukan sahaja kerana kedudukannya yang strategik, malah melibatkan kepentingan agama dalam membebaskan Palestin. Kuasa Barat dan Israel menjadikan Palestin sebagai pangkalan untuk memecahbelahkan umat Islam dan menghalang kebangkitannya. Pembebasan Palestin tidak dapat dicapai dengan mudah tanpa ada kesepakatan yang jitu antara pihak yang terlibat. Lebih-lebih lagi, pertelingkahan dua parti terbesar dalam Palestinian Legislative Council (PLO) menyebabkan seluruh Palestin terheret dalam kancah ‘perang saudara’. Oleh sebab itu, pentingnya isu pembebasan Palestin dipulihkan berdasarkan teras Islamnya bersama dengan dimensi kebangsaan, dunia arab dan kemanusiaan secara harmoni dan berkesan. Perpaduan merupakan teras kepada penyatuan ummah dan menghapuskan kezaliman pihak musuh Islam. Negara Islam perlu bangkit bersama menentang Israel, bukan sekadar mengecam sekeras-kerasnya. Penindasan ke atas rakyat Palestin tidak hanya menuntut perpaduan orang Islam, sebaliknya membabitkan perjuangan manusia sejagat.
Dunia Islam perlu bangkit kembali membela dan memerdekakan bumi Palestin dan rakyatnya. Sudah tiba masanya negara-negara Islam khususnya memainkan peranan utama dalam isu Palestin seterusnya membebas dan memerdekakan Palestin daripada penjajahan rejim zionis Israel. Dengan mengutamakan kepentingan Islam, kepimpinan yang berintegriti, perpaduan dalam politik dan kesatuan yang kuat dalam kalangan negara dunia Islam sangat penting dalam mewujudkan sebuah negara yang kukuh. Konflik yang berlaku antara parti politik Fatah dan Hamas, melemahkan negara-negara Arab sekaligus menampakkan kelemahan umat Islam itu sendiri. Sesungguhnya kiblat pertama umat Islam iaitu negara Palestin perlu dipertahankan.