By: Jazuli Bello Ladan & Nasmatu Aliyu Media freedom refers to the ability of journalists…

Akhiri Keganasan Terhadap Wanita di Palestin, Tuntut Kesepaduan Global
Oleh: Dr. Nurul Suhada Ismail
Bersempena dengan Hari Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita Antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah melancarkan kempen yang bertemakan “(UniTE) Bersatu! Aktivisme untuk Menamatkan Keganasan terhadap Wanita dan Gadis” bermula 25 November 2022 sehingga 10 Disember 2022. Matlamatnya adalah untuk menghentikan sebarang bentuk kekejaman, penindasan dan keganasan terhadap wanita. Realitinya, keganasan terhadap golongan wanita bukan sahaja isu tempatan tetapi juga isu global. World Health Organization (WHO) (2021) melaporkan kira-kira 30 peratus wanita di seluruh dunia mengalami sama ada keganasan fizikal dan/atau seksual dari pasangan mereka atau keganasan seksual bukan dari pasangan mereka. Kesannya, keganasan tersebut telah memberi pengaruh terhadap kesihatan fizikal, mental dan seksual wanita. Oleh yang demikian, perlindungan dan pemerkasaan terhadap golongan wanita sangat penting bagi menjamin hak asasi golongan rentan ini.
Tambahan pula, peranan wanita kini dilihat lebih luas kerana sebahagian mereka turut mendominasi pentas politik mahu pun terlibat dalam bidang pekerjaan profesional dan bidang pekerjaan yang mencabar. Buktinya, data PBB setakat 19 September 2022 menunjukkan sebanyak 30 orang wanita daripada 28 buah negara telah memegang jawatan sebagai ketua negara atau negeri (United Nations Women, 2022). Hal ini seiring dengan salah satu daripada Matlamat Pembangunan Lestari 2030 yang ingin dicapai berkait rapat dengan keterlibatan dan kepimpinan wanita dalam dunia politik dan kehidupan. Namun, menjadi suatu cabaran untuk mencapai matlamat ini kerana pada masa yang sama dunia masih lagi didedahkan dengan penderitaan yang dialami oleh wanita di negara yang terjejas akibat konflik peperangan seperti di Palestin.
Dalam perjuangan untuk membebaskan Palestin dari Israel, wanita Palestin telah memainkan peranan penting menentang pendudukan Israel terutamanya dari segi politik, sosial, dan juga kes secara ketenteraan. Majoriti wanita Palestin telah dipenjarakan atau ditahan sebagaimana tahanan lelaki dan kanak-kanak. Sejak awal Intifada pada tahun 2000 lebih daripada 700 orang wanita telah dipenjarakan atau ditahan di penjara Israel. Sehingga Mei tahun 2008 daripada lebih 9080 orang tahanan politik Palestin yang kekal di penjara Israel, 73 orang daripadanya merupakan golongan wanita. Malahan, seorang wanita bersama-sama dengan dua orang bayinya masih kekal di penjara sehingga ke hari ini. Lebih menyedihkan, Addameer, Prisoners’ Support and Human Rights Association, the Mandela Institute for Human Rights and the Palestinian Counselling Center (PCC) (2008) melaporkan sejumlah besar banduan dan tahanan ini ditahan tanpa sebarang pertuduhan atau proses kehakiman.
Terkini, al-Jazeera (2022) melaporkan seorang wanita Palestin Saadia Farajallah yang berusia 68 tahun telah meninggal dunia di penjara Israel selepas enam bulan ditangkap oleh tentera Israel berhampiran pusat pemeriksaan tentera di Hebron di Tebing Barat. Rakyat Palestin dan pertubuhan hak asasi manusia telah mengecam kematian Saadiah Farajallah dan menyatakan beliau meninggal dunia akibat daripada dasar kecuaian perubatan Israel yang diamalkan terhadap tahanan politik Palestin. Hal ini kerana Saadiah Farajallah dilaporkan mengalami beberapa penyakit kronik termasuk tekanan darah tinggi dan diabetes sejak beliau ditahan pada tahun 2021.
Selain daripada faktor peperangan, wanita Palestin tidak terkecuali mengalami keganasan atas faktor yang lain. Menurut tinjauan oleh Biro Perangkaan Pusat Palestin mengenai keganasan, sebelum wabak COVID-19, 29.4 peratus (berkahwin atau pernah berkahwin) wanita berumur antara 18 dan 64 tahun mengalami keganasan dalam tempoh 12 bulan sebelum tinjauan itu iaitu masing-masing, 37.5 peratus di Gaza dan 24.3 peratus di Tebing Barat. Daripada jumlah itu, 56.6 peratus mengalami keganasan psikologi, 17.8 peratus keganasan fizikal, 8.8 peratus keganasan seksual, 32.5 peratus keganasan sosial, 41.1 peratus keganasan ekonomi, manakala lapan peratus mengalami isu keganasan siber. Dalam pada itu, dilaporkan juga wanita berkelainan upaya, wanita yang terbiar dan wanita yang berada di kem pelarian dikatakan lebih berisiko terdedah kepada aktiviti keganasan (Humanitarian Needs Overview, 2022).
Daripada penelitian jelas menunjukkan keganasan terhadap wanita telah memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan wanita dan menghalang mereka daripada mengambil bahagian sepenuhnya dalam masyarakat. Secara tidak langsung memberi kesan terhadap keluarga, komuniti dan negara secara amnya. Bahkan, negara perlu menanggung kos yang besar dalam aspek penjagaan kesihatan, perbelanjaan undang-undang dan kerugian dalam produktiviti tenaga kerja. Atas dasar tersebut, bersempena dengan Hari Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita Antarabangsa, Malaysian Research and Education Foundation (MyREF) dan Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) melalui inisiatif, Justice for Palestine Action Front (JPAF) bersuara tegas dalam menyatakan pendirian bagi menghentikan sebarang bentuk kekejaman dan penindasan yang mengganggu gugat keamanan di Palestin. Menerusi artikel ini, JPAF ingin menekankan solidariti semua pihak dalam menjamin kesejahteraan warga Palestin termasuklah golongan wanita yang menjadi penggerak dalam perjuangan menentang penyeksaan rejim Zionis terhadap Palestin dalam mencapai “Palestin: Negara untuk Semua”.