By: Jazuli Bello Ladan & Nasmatu Aliyu Media freedom refers to the ability of journalists…

Peperangan di Palestin dan Perihal Kesihatan Mental Kanak-Kanak
Oleh: Dr. Nurul Suhada Ismail
Kesihatan mental menjadi perkara utama dalam menjamin kesejahteraan individu tanpa mengira kategori umur. Secara amnya, masalah kesihatan mental berpunca daripada faktor keluarga, persekitaran, pendidikan dan pekerjaan yang majoriti dihadapi oleh golongan dewasa. Namun demikian, tidak dinafikan kesihatan mental turut dideritai oleh golongan kanak-kanak. Mereka yang berisiko mengalami masalah kesihatan mental adalah kanak-kanak yang terdedah dalam situasi peperangan, penderaan dan kemalangan akibat trauma. Menyedari kepentingan penjagaan kesihatan mental, maka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 10 Oktober sebagai Hari Kesihatan Mental Sedunia yang bermatlamat meningkatkan kesedaran komuniti dunia serta menyokong individu yang menghadapi masalah kesihatan mental.
Dalam meneliti isu ini, golongan yang paling rentan (vulnerable) terdedah kepada masalah kesihatan mental, adalah kanak-kanak di Palestin berikutan keberadaan mereka dalam situasi peperangan dan penindasan Israel. Saban tahun kanak-kanak Palestin menjadi tahanan pihak berkuasa Israel. Mereka merupakan kanak-kanak di dunia yang secara sistematik didakwa melalui mahkamah tentera, bukan mahkamah awam. Tuduhan yang paling biasa dikenakan adalah tindakan membaling batu sehingga kanak-kanak ini menerima hukuman paling maksimum membabitkan tempoh 20 tahun penjara. Kesannya, selain menghadapi kesengsaraan, kanak-kanak dalam sistem tahanan tentera Israel berhadapan dengan pelbagai layanan tidak berperikemanusiaan. Memetik laporan Save the Children, antara bentuk seksaan yang diterima kanak-kanak tersebut seperti dipukul, dibogelkan, penderaan psikologi, berminggu-minggu dalam kurungan bersendirian, dan dinafikan akses kepada peguam semasa proses soal siasat. Situasi ini sudah pasti memberi kesan trauma, ketakutan, kesedihan dan kemurungan yang boleh membawa kepada kematian.
Dalam pada itu, pada April 2022, al-Jazeera melaporkan seramai 160 orang kanak-kanak Palestin telah menjadi tahanan di penjara. Sebagaimana yang berlaku ke atas seorang kanak-kanak, Ahmad Manasra yang ditahan dan disiasat dengan sangat kejam sehingga mengalami masalah kesihatan mental. Pada penghujung tahun 2021, pakar psikiatri mengesahkan Ahmad menghidap skizofrenia. Kes tersebut menunjukkan situasi peperangan dan penindasan yang berpanjangan mendedahkan kanak-kanak di Palestin terhadap masalah psikologi yang kronik termasuk gangguan Post-traumatic Stress Disorder (PTSD), kebimbangan (anxiety) dan masalah tingkah laku (behavioral problem).
Berdasarkan kajian yang dijalankan di Gaza dan Nablus pada tahun 2005 sehingga tahun 2008, kanak kanak yang berumur 15 tahun ke bawah berkecenderungan menghadapi PTSD berbanding golongan dewasa. Kajian ini juga membuktikan faktor yang menyebabkan mereka mengalami masalah PTSD kerana terlibat dalam situasi pembunuhan, menjadi mangsa kekejaman seksual, penderaan fizikal serta menerima ugutan atau ancaman (Espié, Gaboulaud, Baubet, Casas, Mouchenik, Yun, Grais & Moro, 2009).
Berikutan daripada permasalahan yang berlaku, PBB memandang serius hal ini dengan menyokong sepenuhnya langkah untuk mengatasi isu kesihatan mental yang berpunca dari penderaan dan kekejaman dari akar umbi (PBB, 2022). Bersempena dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang bertemakan “Make mental health for all a global priority” pada 10 Oktober, MyREF dan Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) melalui inisiatif, Justice for Palestine Action Front (JPAF) bersuara tegas dalam menyatakan pendirian bagi menghentikan sebarang bentuk kekejaman dan penindasan yang mengganggu gugat keamanan di Palestin. Menerusi artikel ini, JPAF ingin menekankan solidariti semua pihak dalam menjamin kesejahteraan warga Palestin termasuklah kanak-kanak yang menjadi penyambung perjuangan menentang penyeksaan rejim Zionis terhadap Palestin dalam mencapai “Palestin: Negara untuk Semua”. Masa depan kanak-kanak di Palestin wajar diutamakan bagi meneruskan legasi perjuangan dan membebaskan Palestin dari cengkaman Israel.