By: Jazuli Bello Ladan & Nasmatu Aliyu Media freedom refers to the ability of journalists…

Bantuan Kemanusiaan Palestin: Material dan Advokasi
Oleh: Nur Aina Makhtarudin
Resolusi Hari Kemanusiaan Sedunia
Bermula tahun 2009, tanggal 19 Ogos, telah ditetapkan sebagai Hari Kemanusiaan Sedunia. Hal ini sebagai menghargai serta mengiktiraf pekerja kemanusiaan yang mendedikasikan hidup mereka untuk tujuan kemanusiaan dan kesejahteraan sejagat dalam membantu mereka yang terjejas dengan krisis global seperti peperangan, bencana alam dan sebagainya. Dalam pada itu, tarikh 19 Ogos ini diambil sempena mengingati serangan bom yang berlaku pada tahun 2003 di Hotel Canal Baghdad, Iraq. Serangan pengeboman ini merupakan peristiwa berdarah yang turut meragut 22 nyawa, termasuk seorang Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Sergio Vieira de Mello. Lima tahun selepas peristiwa tersebut, Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima resolusi menetapkan tarikh 19 Ogos sebagai Hari Kemanusiaan Sedunia. Sehingga kini, tarikh tersebut disambut di seluruh dunia sebagi mengenang dan menghargai ratusan ribu pejuang kemanusiaan termasuk mereka yang tidak pernah lelah membela bumi Palestin.
Bersempena dengan Hari Kemanusiaan Sedunia tahun ini, Justice for Palestine Action Front (JPAF) membincangkan isu pekerja kemanusiaan Palestin di peringkat akar umbi. Dalam hal ini, didapati bantuan demi bantuan disalurkan kepada Palestin dari segenap dunia dan dalam pelbagai bentuk seperti wang tunai, pembinaan semula infrastuktur dan juga bantuan kemanusiaan namun penderitaan dan penindasan daripada pihak rejim Israel tetap berlaku. Hal ini menunjukkan bahawa masih terdapat kelompongan dalam kerja kemanusiaan yang dunia lakukan dan yang seharusnya diterima oleh rakyat Palestin. Selain daripada usaha menghantar bantuan, membina semula infrastruktur, memberikan bantuan pendidikan, perkara yang perlu dilakukan adalah membantu menyelesaikan masalah dari peringkat akar umbi supaya tidak menjadi sekadar membersihkan sisa kotoran pihak tertentu yang sengaja mengabaikan nilai kemanusiaan.
Bantuan Kemanusiaan di Palestin
Berdasarkan Tinjauan Kemanusiaan Global 2022, seramai 274 juta orang memerlukan bantuan kemanusiaan dan perlindungan. Jumlah ini adalah peningkatan ketara daripada 235 juta orang pada tahun sebelumnya dan ia merupakan angka tertinggi dalam beberapa dekad. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyasarkan untuk membantu seramai 183 juta orang di 63 negara yang memerlukan, dengan sasaran bantuan sebanyak RM 182 billion ($41 billion). Dalam konteks negara Palestin, ia berada di tangga ke- 14 dalam kedudukan negara yang memerlukan bantuan iaitu seramai 2.1 juta orang yang memerlukan bantuan di mana PBB menyasarkan untuk membantu seramai 1.3 juta penduduk yang menelan perbelanjaan sebanyak RM 2.2 billion ($510 juta).
Penduduk Palestin menghadapi penindasan dasar aparteid Israel selama beberapa dekad iaitu lebih kurang 75 tahun selepas peristiwa Nakba dan menjadikan keperluan bantuan kemanusiaan di Palestin semakin bertambah dari hari ke hari. Di Tebing Barat aktiviti penempatan haram Israel berterusan tanpa henti, dan rakyat Palestin hidup dalam persekitaran yang terseksa. Hal ini dapat dilihat dengan peningkatan dana bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin pada tahun 2021 iaitu $417 juta berbanding 2022 iaitu $510 juta. Pertambahan dari segi dana ini menunjukkan bahawa terdapat peningkatan dalam keperluan untuk memulihkan infrastruktur yang musnah akibat peperangan dan penindasan Israel.
Konflik Kemanusiaan di Palestin
Berdasarkan laporan Kesatuan Union, sekatan dan konflik berterusan oleh rejim Israel telah melumpuhkan ekonomi Palestin dan menyebabkan keperluan hidup mereka semakin terdesak. Hal ini menyebabkan 63% daripada penduduk Gaza memerlukan beberapa bentuk bantuan. Rakyat Gaza terperangkap dalam kitaran kemiskinan, pengangguran dan ketidakselamatan makanan dan diramalkan akan bertambah buruk akibat kekurangan makanan global berikutan pencerobohan Rusia terhadap Ukraine. Di tebing barat, kira-kira 795,000 rakyat Palestin dihadkan akses penggunaan kepada barangan dan perkhidmatan penting termasuk air, elektrik mahupun pendidikan.
Bangunan awam termasuk sekolah, hospital dan juga rumah kediaman warga Palestin dirobohkan atas alasan tiada permit menjadikan rakyat Palestin semakin tersepit dan kehilangan tempat perlindungan dan kemudahan asas dengan dasar aparteid Israel. Penyeksaan bukan sahaja berlaku kepada rakyat Palestin di tanah air, malah mereka yang diusir dan menjadi pelarian juga mendapat kesan atas penindasan ini. Hal ini dapat dilihat apabila Bekas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netahanyu berulang kali menyasarkan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau UNRWA yang ditubuhkan khas untuk membantu Palestin, untuk menyemak semula takrifan pelarian supaya dapat mengurangkan pembiayaan kepada agensi itu. Jika hal ini berlaku, ia pastinya akan memburukkan belanjawan UNRWA dan menyebabkan pelarian Palestin kehilangan perkhidmatan asas dan kekurangan perlindungan hak asasi dan sekaligus menyumbang kepada krisis kemanusiaan dunia.
Realiti yang berlaku memperlihatkan bahawa bentuk bantuan material sahaja tidak mencukupi untuk menamatkan krisis di Palestin. Penyudahnya, Palestin masih di belenggu tindakan aparteid Israel. Oleh yang demikian, penting untuk pekerja kemanusiaan tidak hanya sekadar menekankan bantuan material semata-mata malah sokongan advokasi juga amat diperlukan rakyat Palestin. Bertepatan dengan tema Hari Kemanusiaan Sedunia tahun 2022 ”It takes a village”, MyREF dan Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) melalui inisiatif, Justice for Palestine Action Front (JPAF) menyeru masyarakat dunia menghayati maksud bantuan dan kerja kemanusian yang sebenar. Bantuan kemanusiaan seharusnya lebih berfokus terhadap lobi dan advokasi, tekanan politik, perpaduan dan solidariti, serta sokongan akar umbi domestik untuk membantu rakyat Palestin menuntut semula keadilan dan negara yang berdaulat selaras dengan matlamat JPAF iaitu “Palestin: Negara untuk Semua”.